Gara-gara bergurau guna bahan letupan, pengawal keselamatan dijel 30 bulan - Utusan Malaysia

Gara-gara bergurau guna bahan letupan, pengawal keselamatan dijel 30 bulan

TERTUDUH, Hapizal Saad, 42, (kiri) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, bagi menghadapi tiga pertuduhan iaitu memiliki bahan letupan, khianat dan dadah hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan letupan dan melakukan khianat dengan mercun buatan sendiri di sebuah sekolah rendah di Padang Besar pada 16 Ogos lalu.

Tertuduh menggangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, Ana Rozana Mohd Nor.

Selain itu, tertuduh, Hapizal Saad, 42, turut dipenjara empat bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan penyalahgunaan dadah sekitar Padang Besar pada 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan khianat dengan menggunakan mercun buatan sendiri lalu mengakibatkan kerosakan khemah milik Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Besar Utara pada 16 Ogos lalu sekitar pukul 4.50 pagi dan menyebabkan kerugian berjumlah RM50.

Berikutan itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, Hapizal didapati memiliki bahan letupan iaitu satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi 100 biji mercun bola besar dan satu kotak mercun yang tertera 8426 Thunder Clap.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) di sebuah rumah di RPA Padang Besar pada 16 Ogos lalu sekitar pukul 5.30 petang dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan penyalahgunaan dadah pula, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya iaitu Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar pada 30 Jun lalu sekitar pukul 5.15 petang.

Hapizal melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali serta wajib menjalani pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurul Atikah Ab Rashid manakala tertuduh diwakili peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Shazwan Shahidan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sewaktu prosiding berkenaan, tertuduh turut mengaku perbuatannya itu adalah bertujuan sebagai gurauan semata-mata namun Nurul Atikah dalam hujahannya memohon mahkamah agar memberikan hukuman setimpal atas kesalahan tersebut.

Hasnor bagaimanapun merayu agar mahkamah menetapkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 Ogos lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan Hapizal hukuman penjara 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan 12 bulan bagi pertuduhan kedua manakala bagi kesalahan penyalahgunaan dadah, tertuduh dihukum penjara empat bulan bermula dari tarikh sabitannya iaitu 22 Ogos.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya