PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka siasatan terhadap kenyataan fitnah berkaitan dakwaan terdapat arahan penutupan 200 pusat tahfiz di Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain berkata, pihaknya akan memanggil individu berkaitan dalam masa terdekat membabitkan kes tersebut.
“Kita telah buka siasatan dan akan panggil individu berkaitan untuk bantu siasatan dalam masa terdekat ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, polis menerima tiga laporan terhadap isu tersebut.
Katanya, tiga laporan polis tersebut disiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk tindakan lanjut manakala satu daripada laporan terbabit yang dibuat di Perak disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Akhbar ini semalam melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal terhadap fitnah berkenaan yang dilemparkan kepada pihak berkuasa agama Selangor dan pihak berkuasa tempatan.
Fitnah tersebut kononnya lebih daripada 200 buah sekolah tahfiz di Selangor diarahkan tutup yang mengakibatkan beribu pelajar tahfiz telah hilang tempat untuk belajar.
“Sesungguhnya fitnah sebegini amat tidak bertanggungjawab dan amat beta kesali kerana secara tidak langsung merisaukan para ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di Selangor,” titah baginda.
Pada 15 Ogos lalu, gabungan NGO Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan rasa bimbang terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri itu.
Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris dilaporkan berkata, kira-kira 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan malah ia turut tular dalam media sosial. – UTUSAN










