KUALA TERENGGANU: Dua pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan kira-kira dua minggu lalu.
Tertuduh, Arif Iskandar Aznizam, 19, dan Muhammad Hafiq Aieman Mohd. Zulliadi, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Nooriah Osman secara berasingan, di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, Arif Iskandar dan Muhammad Hafiq Aieman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama yang ketika kejadian berusia 13 tahun
Kedua-dua pemuda berkenaan didakwa melakukan perbuatan keji itu di sebuah rumah di Kuala Berang, Hulu Terengganu sekitar jam 6 petang pada 18 Ogos lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 2 Oktober ini dan membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Arif Iskandar dan Muhammad Hafiq Aieman turut dikenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN