Dr. Soberi banyak berdiam diri sebelum meninggal dunia

Dr. Soberi banyak berdiam diri sebelum meninggal dunia

JENAZAH Soberi Awang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, Kemaman, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang lelaki tidak menyangka perubahan bapa saudaranya iaitu Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Dr. Soberi Awang yang banyak berdiam diri sejak beberapa hari lalu menjadi petanda pemergiannya.

Soberi, 59, yang juga pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital selepas rebah ketika sedang menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Anak saudaranya, Sya’rani Asa’arri, 34, berkata, dia dan beberapa ahli keluarganya berasa pelik apabila Soberi yang digelar Ayah Ngah, jarang membalas pesanan WhatsApp kumpulan keluarga dan tidak menunjukkan sebarang respon apabila dia memuat naik status WhatsApp.

“Biasanya kalau saya muat naik status WhatsApp, Ayah Ngah akan balas. Namun, beberapa hari sebelum ini dia banyak diam,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur, di sini.

Sya’rani berkata, bapa saudaranya juga ada mengadu sakit dada kepada beberapa ahli keluarganya, minggu lalu.

“Minggu lepas, saya bertandang ke rumah Ayah Ngah pada hari Isnin malam, namun tidak sempat berjumpa dengannya kerana beliau keluar mengajar di surau.

“Beberapa jam selepas itu, Ayah Ngah ada menghubungi saya dan mengajak saya menemani dia tidur kerana dia sakit dada dan muntah-muntah. Isterinya pula berada di kampung, namun saya tidak dapat memenuhi permintaannya kerana mempunyai urusan lain. Memang saya agak terkilan tidak pergi berjumpa dengannya,” katanya.

Sya’rani berkata, bagaimanapun Soberi telah mendapatkan rawatan di klinik dan diberitahu hanya gastrik.

“Arwah kembali okey selepas makan ubat yang diberikan doktor, namun tak sangka arwah kembali tidak sihat pagi semalam (kelmarin),” katanya yang masih terkejut dengan pemergian bapa saudaranya itu.

Arwah yang juga merupakan salah seorang ahli Majlis Fatwa Negeri Terengganu meninggalkan seorang balu iaitu Nur Hayati Mohd. Zari@Jaafar, 57, dan seorang anak perempuan, Nadharatul Hanat yang telah mendirikan rumah tangga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN