Dominic tidak setuju negeri PN guna tema, logo Hari Kebangsaan berbeza - Utusan Malaysia

Dominic tidak setuju negeri PN guna tema, logo Hari Kebangsaan berbeza

DOMINIC Lau ketika bertemu penduduk setempat di Taman Sahabat, Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Dominic Lau tidak bersetuju dengan cadangan supaya empat buah negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza dengan tema di peringkat Persekutuan.

Beliau yang juga Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, ini kerana pada pandangan peribadinya tidak semua isu sepatutnya dipolitikkan terutama isu-isu melibatkan Hari Kebangsaan.

”Memang saya sendiri tidak setuju kita (PN) gunakan tema berlainan kerana bukan semua isu patut dipolitikkan.

“Kita tidak mahu berikan berikan imej yang kita politikkan Hari Kebangsaan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui selepas bertemu penduduk di Taman Sahabat, Teluk Kumbar, di sini hari ini.

DOMINIC LAU

Semalam, media melaporkan empat negeri di bawah pemerintahan PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza bagi sambutan peringkat negeri berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat Persekutuan.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, semalam.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, isu berkenaan telah pun dibincangkan di peringkat pimpinan Pusat PN dan Ketua Pemuda PN juga telah memberikan maklum balas mengapa cadangan itu disuarakan pihaknya.

”Memang ada perbincangan di peringkat PN, dan saya telah suarakan kita tak setuju gunakan tema berlainan di negeri-negeri PN.

”Cadangan ini sebenarnya disuarakan oleh Ketua Pemuda PN untuk memberi teguran kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tema Hari Kebangsaan sendiri telah dipolitikkan oleh kerajaan Anwar.

”Perkataan-perkataan yang digunakan untuk tema Hari Kebangsaan peringkat Kebangsaan seperti Madani, Perpaduan sendiri telah dipolitikkan, Anwar sendiri politikkan Hari Kebangsaan, sebab itu PN buat teguran ini,” katanya.

Tambahnya, Ketua Pemuda PN hanya memberi cadangan sedemikian dan perkara itu akan diputuskan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri empat negeri tersebut.

”Dia (Ahmad Fadhli) tidak boleh buat apa-apa, dia bukan Menteri Besar atau Ketua Menteri yang boleh buat keputusan mengenai cadangan ini (gunakan tema dan logo Hari Kebangsaan yang berbeza dengan tema peringkat Persekutuan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya