Dipanggil hero selepas terjun Sg. Endau selamatkan

Dipanggil hero selepas terjun Sg. Endau selamatkan mangsa lemas

MUHAMAD Firdaus Mustapa menunjukkan rakaman video dia cuba menyelamatkan seorang lelaki yang terjun dari jambatan Sungai Endau minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Tidak mengendahkan keselamatan diri, seorang pemuda sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk orang yang tidak dikenali sebaik sahaja melihat kejadian lemas di jambatan Sungai Endau, dekat sini minggu lalu.
Muhamad Firdaus Mustapa, 34, yang membantu bapanya, Mustapa Hashim, 54, berniaga di Medan Ikan Bakar Endau menyedari kejadian itu selepas pe­langgan memaklumkan seorang lelaki terjun ke dalam sungai tersebut.

Dia yang pernah bertugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama empat tahun terus terjun ke sungai berkenaan sejurus melihat kejadian itu.

“Dalam APM kita memang telah dilatih untuk respons dengan cepat lebih-lebih lagi apabila berlaku kejadian kecemasan seperti ini. Berbekalkan kemahiran menyelamat yang ada masa itu, saya tidak fikir apa hanya fikir mahu selamatkan lelaki itu yang sudah pun berada dalam sungai.

“Saya sempat mencapai kaki mangsa namun arus sungai begitu kuat sehingga menyebabkan lelaki itu ditarik ke dalam air dan hilang. Saya pula ketika itu sudah hampir kehabisan tenaga, mungkin kerana stamina tidak seperti dahulu, tambahan pula sudah beberapa tahun tinggalkan APM namun jiwa untuk menyelamat itu sentiasa ada,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dia yang ketika itu telah kehabisan tenaga hanya mampu mengapungkan diri sebelum diselamatkan ayahnya yang turut turun ke sungai.

Akibat kejadian itu, dia turut dimasukkan ke wad di Hospital Mersing selama dua hari untuk rawatan serta pemantauan lanjut doktor kerana keadaannya yang lemah dan kini sering mengalami sesak nafas, anggota dalaman rasa gatal serta demam yang tidak menentu masa.

“Saya tidak kisah walaupun nyawa saya diambil ketika itu kerana saya tahu itu kematian syahid kerana niat saya hanya untuk membantu lelaki itu. Memang terkilan kerana tidak dapat selamatnya.

“Walaupun saya kini ber­depan dengan masalah kesihatan, mungkin kesan sampingan dari terjun ke sungai tersebut namun saya tidak menyesal mengambil tindakan itu. Ba­yangkan sahaja jika lelaki yang terjun itu adalah ahli keluarga kita, sudah tentu kita akan mahu selamatkannya.

“Tambahan pula saya sudah diajar oleh ayah, ibu, datuk dan nenek tidak rugi jika kita bantu orang yang dalam kesusahan dan semua dilakukan bukan untuk dapat balasan daripada manusia tetapi balasan dari Tuhan,” katanya.

Kejadian itu juga membuka matanya tentang betapa pen­tingnya peralatan untuk menyelamat mangsa lemas disediakan di medan selera tersebut yang terletak bersebelahan Su­ngai Endau.

“Saya juga bercadang untuk memohon kepada Majlis Daerah Mersing (MDM) supaya mereka dapat menyediakan peralatan seperti tali, pelampung, jaket keselamatan dan peralatan lain yang boleh digunakan jika berlaku kejadian lemas di sini. Mungkin de­ngan peralatan yang ada dapat menyelamatkan nyawa orang. Lebih-lebih lagi medan selera ini menjadi tumpuan pelanggan daripada pelbagai peringkat umur dan kini dibuka hingga malam,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN