Bot karam: Kanak-kanak hilang ditemukan lemas.

(DIKEMASKINI) Bot karam: Kanak-kanak hilang ditemukan lemas

KANAK-kanak hilang dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Batu, Sandakan ditemukan lemas hari ini-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Batu ditemukan meninggal dunia hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Romy Azlan ditemukan lemas pada jarak 600 meter dari lokasi bot tersebut karam pada pukul 11.08 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba & Penyelamat Sandakan, Severinus @ Mohd. Nidzam Sainkui berkata, mangsa ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Semalam, bot dinaiki mangsa bersama lima ahli keluarga yang lain karam semasa dalam perjanan dari Jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang kira-kira pukul 2.30 petang.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki dalam satu kenyataan berkata, semasa kejadian kesemua mangsa terjatuh ke dalam air dan lima daripada mereka berjaya diselamatkan manakala, seorang kanak-kanak masih hilang.

“Mangsa bersama keluarga menaiki bot terbabit dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang dengan membawa enam orang penumpang termasuk dua orang kanak-kanak.

“Namun dalam perjalanan bot dinaiki dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia telah hilang kawalan lalu terbalik,” katanya.

Zainudin berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 4 petang semalam bagi mengesan kanak-kanak hilang yang dikhuatiri lemas itu. Pangkalan hadapan Carilamat turut diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut.

Menurut beliau, Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN