Desak Zahid letak jawatan keruhkan lagi prestasi UMNO

Desak Zahid letak jawatan keruhkan lagi prestasi UMNO

Mohamed Khaled Nordin memotong buah Sun Melon yang ditanam Pusat Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Perasmian Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di UPM di Serdang, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan desakan ramai agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Presiden UMNO bagaikan jalan pintas yang mengeruhkan lagi prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.

Beliau berkata, proses pascanilai perlu dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kekalahan majoriti kerusi yang ditandingi UMNO pada PRN tempoh hari.

“Saya anggap itu mungkin jalan pintas atau jalan mudah untuk memberi alasan atas kekalahan. Seelok-eloknya ki­ta kaji dan buat post-mortem untuk kita tengok apa punca-puncanya, di mana kelemahan dan sebagainya.

“Saya percaya, apabila ma­rah, emosi, akan keluar macam-macam kenyataan. Jadi, saya tidak mahu tergolong macam itu.

“Biar kita reda, kita lakukan post-mortem, kita cari kelemahan-kelemahan kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi sebelum itu merasmikan Persidangan Ke­terjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Selain itu, beliau tidak menolak terdapat banyak mengenai faktor yang menyumbang kepada kekalahan parti pada PRN lalu.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menyatakan punca sebenar.

“Ya, ada banyak (faktor). Antaranya adalah kita kena tahu apakah isu-isu yang dibawa dalam PRN ini. Kita juga tidak nafikan bahawa mungkin suasana daripada Pilihan Raya Umum lalu masih lagi ada dan sebagainya.

“Kita juga tahu, mungkin rakyat belum merasai sepenuhnya kesan-kesan daripada usaha-usaha kerajaan dalam membangunkan negara.

“Jadi, akhirnya semua ini yang kita dapati. Dan mungkin bagi banyak pengundi dan penyokong UMNO, ini pertama kali mereka bekerjasama dalam satu pasukan yang dulunya mereka lawan sama sendiri,” katanya.

Pada PRN Sabtu lalu, UMNO yang mewakili Barisan Nasio­nal (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) dan hanya menang 19 kerusi.

Pencapaian terbaik adalah di Negeri Sembilan dengan kemenangan di 14 daripada 17 kerusi DUN yang ditandingi.

Prestasi di Pulau Pinang dan Selangor tidak memberangsangkan apabila hanya menang dua kerusi.

Di Kelantan, parti itu hilang enam kerusi disandang dan kini hanya menguasai satu DUN, iaitu Galas, manakala di Kedah dan Terengganu, gagal meraih sebarang kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN