PETALING JAYA: Dasar Gaji Progresif yang sedang diusahakan Kerajaan Perpaduan dapat membantu menangani kenaikan inflasi, kata Datuk Seri Ahmad Zahid.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dasar itu dapat membantu menyeimbangkan antara peningkatan gaji dan kos sara hidup rakyat di bandar dan luar bandar.
“Dengan perimbangan pendapatan dan perbelanjaan, secara tidak langsung dapat menangani kenaikan inflasi. Kerajaan sentiasa berusaha untuk menurunkan kadar inflasi bagi menstabilkan kos sara hidup rakyat.
“Saya berharap Dasar Gaji Progresif ini akan menerima sambutan daripada syarikat/ majikan dan pekerja demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, matlamat kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan juga boleh terbantut sekiranya Dasar Gaji Progresif ini tidak dilaksanakan dengan segera.
Katanya, ia mengambil kira laporan statistik upah pekerja (sektor formal) suku pertama 2023 yang dibentangkan pada minggu lepas.
“(Yang mana) lebih dua juta pekerja Malaysia masih berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Ini bermakna, mereka ini masih dalam golongan B40,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dasar Gaji Progresif adalah bersifat sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.
Perdana Menteri berkata, model dasar itu diusulkan setelah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) mengambil kira pandangan dan kepentingan pihak majikan dan pekerja.
Katanya, dasar itu yang merupakan pelengkap kepada Dasar Gaji Minimum akan disusuli dengan garis panduan gaji progresif tahunan bagi setiap sektor, pekerjaan dan peringkat. – UTUSAN