KUALA LUMPUR: Krisis dalaman DAP Pulau Pinang yang membuatkan bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy keluar parti mendorong sahabatnya, Liew Chin Tong mengimbas kembali bagaimana pemimpin itu ditolak oleh akar umbi parti.
Chin Tong yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP berkata, selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008 yang memenangkan DAP di Pulau Pinang, Lim Guang Eng merupakan Ketua Menteri baharu ketika itu mengubah peraturan lama dengan melantik Ramasamy sebagai Timbalannya.
“Kedudukan tinggi diberi dengan hasrat beliau dapat membantu DAP untuk menjadikan parti lebih inklusif.
“Walaupun DAP sejak asalnya memang parti pelbagai kaum, usaha perlu dipertingkat lagi. Namun, Ramasamy gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Chin Tong berkata, Ramasamy juga tewas dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 2012, 2013, 2017 dan 2022 dan pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang pada 2010, 2013, 2015, 2018 dan 2021.
“Pimpinan DAP masih berharap beliau mampu membawa perubahan positif, sayangnya, ia hanya harapan palsu.
“Tidak salah dikatakan mendiang Karpal Singh (bekas Pengerusi Kebangsaan DAP), banyak berjasa dalam membantu kerjaya politik Ramasamy bermula pada 2008 dengan memberi peluang bertanding kerusi DUN dan Parlimen.
“Namun, apabila beliau tidak mendapat apa yang dimahukan, pada 2011, beliau memaki hamun mendiang Karpal. Kata-kata kesatnya diketahui umum dan ini amat jarang berlaku dalam DAP,” katanya.
Jelas beliau, DAP tetap yakin Ramasamy masih dapat memberi sumbangan kepada masyarakat walaupun dengan sikapnya itu, selain parti masih bertolak ansur malah memberi kedudukan tinggi dalam parti dan Kerajaan Negeri.
“Amat dikesali Ramasamy telah keluar parti. Beliau sengaja mahu memecah belah perpaduan ahli-ahli akar umbi serta para penyokong DAP,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Ramasamy keluar daripada DAP berkuatkuasa serta-merta. Beliau mendakwa telah diketepikan dalam DAP kerana seorang ‘maharaja’ yang menjadi punca berlaku krisis dalam DAP Pulau Pinang.
Ramasamy antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digugurkan daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang esok.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata, Ramasamy yang menyertai DAP pada September 2005 memberitahu mahu bekerjasama dengan semua pemimpin, ahli dan penyokong parti bagi memperjuang usaha membentuk masyarakat Malaysia yang demokratik, progresif dan bebas daripada tekanan kaum, agama dan kelas.
“Sehari sebelum Parlimen dibubar iaitu pada 12 Februari 2008, Ramasamy, saya dan seorang lagi calon telah diumum secara rasmi menjadi calon DAP melawan Barisan Nasional (BN), masing-masing di Parlimen Batu Kawan, Bukit Bendera dan Jelutong.
“Oleh kerana kerusi Batu Kawan ditandingi bekas Ketua Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, timbul kebimbangan sama ada Ramasamy mampu menang.
“Mendiang Karpal mahu Ramasamy turut diberi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai sebagai jaminan untuk menang, jika tewas di Parlimen.
“Layanan istimewa diberi kepada Ramasamy menyebabkan beberapa bakal calon serta penyokong mereka di Perai marah terhadap parti,” katanya. – UTUSAN










