Calon PH DUN Kajang tawar enam teras manifesto, utamakan anak muda

Calon PH DUN Kajang tawar enam teras manifesto, utamakan anak muda

DAVID Cheong Kian Yong beramah mesra dengan peniaga di DUN Kajang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, David Cheong Kian Yong menawarkan manifesto yang menjanjikan masa depan cerah kepada anak-anak muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Tawaran manifesto HARAPAN DUN Kajang itu merangkumi enam teras iaitu pembangunan mampan dan lestari; latihan kemahiran dan peningkatan pendapatan anak muda; meneruskan usaha menangani banjir; kebajikan masyarakat; infrastruktur sukan dan rekreasi anak muda serta pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan.

David Cheong yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, tawaran-tawaran tersebut sebagai tanda komitmennya kepada pengundi sekiranya diberi kepercayaan untuk menjadi ADUN Kajang.

“Saya komited untuk mempertingkatkan kualiti hidup warga Kajang dengan memberi penekanan kepada pembangunan mampan yang mementingkan kelestarian alam sekitar. Isu-isu semasa seperti kesesakan lalu lintas dan kebersihan alam sekitar akan menjadi fokus pasukan N.25 Kajang selepas PRN ini.

“Sejajar dengan hala tuju Kerajaan Madani, saya akan terus memperjuangkan nasib golongan B40 dan golongan kurang upaya serta memastikan segala skim mesra rakyat Iltizam Selangor Penyayang disampaikan kepada golongan sasaran.

“Saya juga berjanji akan menambah baik infrastuktur penjaja dan peniaga di sekitar bandar Kajang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai tawaran kepada pengundi muda, David Cheong berkata, beliau tekad untuk membantu golongan berkenaan dengan memperbanyakkan latihan kemahiran sejajar dengan keperluan industri serta meningkatkan pendapatan.

Selain itu, katanya, beliau akan memberi fokus kepada infrastruktur gelanggang futsal, padang bola dan kemudahan sukan yang lain di kawasan DUN Kajang. Di samping itu, saya berjanji akan menggiatkan aktiviti dan pertandingan sukan di dalam kawasan ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dari segi isu setempat, dia komited untuk menaik taraf infrastruktur di Kajang bagi mengelak banjir kilat terus berlaku pada masa hadapan.

“Sebelum ini, peruntukan sejumlah RM1.2 juta bagi menaik taraf tebing jajaran Sungai Langat meliputi Taman Sri Langat, Taman Mahkota, Taman Pasir Mas dan Taman Bangi telah berjaya mengurangkan banjir kilat di kawasan berhampiran.

“Kalau kita lihat bandar Kajang juga terkenal dengan industri sate Kajang dan sesuai untuk dibangunkan sebagai hub pelancongan utama di negeri Selangor. Makanan tempatan dan daya tarikan bangunan kolonial di Jalan Mendaling, Jalan Sulaiman, Jalan Tukang, Jalan Besar dan Jalan Tengah turut sesuai bagi pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan,” katanya.

Bagi kerusi DUN Kajang, David Cheong bakal berdepan saingan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional, Liew Sin Kim dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arutchelvan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya