Calon Bebas yakin buat kejutan di Kota Siputeh - Utusan Malaysia

Calon Bebas yakin buat kejutan di Kota Siputeh

ABDUL RAMLI (kiri) membantu mengacau bubur Asyura sewaktu turun padang ke Dewan Orang Ramai Kampung Kandis, Jerlun, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Abdul Ramli berkeyakinan mencipta kejutan bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Latif berkata, berdasarkan siri kempen yang memasuki minggu kedua, pihaknya mendapati calon-calon tempatan yang bertanding dilihat lebih mempunyai potensi besar untuk menang dan dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun, kemenangan itu juga bergantung kepada tahap kempen calon bertanding memandangkan peluang bagi setiap pihak masih lagi terbuka.

“Sememangnya berdasarkan kepada apa yang kita lihat penerimaan masyarakat di DUN Kota Siputeh ini lebih kepada anak tempatan dan kita yakin dapat mencipta kejutan.

“Saya kenal pasti di mana suasana kini lebih kepada penolakan calon luar berikutan pengundi mahukan anak tempatan kerana PRN ini melibatkan kawasan DUN dan mereka lebih utamakan pemimpin di kawasan,” katanya selepas turun padang di Dewan Orang Ramai Kampung Kandis, di sini, hari ini.

DUN Kota Siputeh bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana penyandang kerusi berkenaan, Dr. Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH) akan dicabar oleh Abdul Ramli dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir.

Sebelum ini, Salmee dilaporkan berkata, PH dijangka akan meraih kelebihan daripada krisis dalaman dihadapi calon PN dan Bebas pada PRN ini.

Ini susulan daripada tindakan sebahagian ahli Bersatu kawasan itu yang tampil membuat bantahan dan menolak pencalonan Mohd. Ashraf ekoran rasa kurang senang berikutan beliau bukan merupakan penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Abdul Ramli berkata, isu-isu di peringkat nasional juga dilihat tidak akan memberi impak dan mempengaruhi pengundi-pengundi di kawasan DUN berkenaan pada PRN kali ini.

“Mereka (pengundi) tidak ambil tahu pun isu nasional dan hanya lebih menjurus kepada isu-isu tempatan khususnya dalam sektor pertanian, bantuan kerajaan, masalah infrastruktur dan pelbagai lagi,” katanya.

Tambah Abdul Ramli, pihaknya juga akan memberi fokus bagi membawa naratif baharu dengan memperjuangkan hak golongan belia, petani, penternak dan nelayan di kawasan berkenaan.

“Saya akan beri fokus untuk bantu tingkatkan ekonomi golongan ini bagi memastikan mereka dapat menaikkan taraf kehidupan masing-masing,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya