PETALING JAYA: Dalam usaha kita memuliakan warisan sejarah dan semangat patriotik, tidak wajar rakyat negara ini dihadapkan dengan suatu perbuatan yang dianggap tidak sihat.
Menurut Ahli Parlimen Belia Malaysia, Ainool Husaini Md. Yatim, tindakan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang mencadangkan tema dan logo kemerdekaan tersendiri tidak hanya mencelarui semangat kemerdekaan, malah mengekang semangat federalisme merentas sejarah negara ini.
“Kita tidak boleh membiarkan semangat patriotisme kita diragut dan dicemarkan oleh tindakan yang seolah-olah mengabaikan semangat perjuangan pahlawan negara dalam mencapai kemerdekaan.
“Logo dan tema yang mereka cadangkan adalah satu penyimpangan dari semangat perpaduan yang menjadi tonggak utama Hari Kemerdekaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ainool Husaini berkata, tidak sepatutnya mana-mana entiti politik menggunakan hari kemerdekaan sebagai alat untuk mengejar agenda politiknya.
Katanya, Hari Kemerdekaan adalah milik semua warga Malaysia, dan tindakan Pemuda PN mencadangkan logo dan tema berbeza adalah satu bentuk penghinaan terhadap perjuangan sebagai bangsa.
Terdahulu media melaporkan PN mencadangkan tema dan logo Hari Kemerdekaan Ke-66 yang berbeza dengan yang diumumkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tema yang dipilih adalah ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’ selaras dengan usaha menyemarakkan lagi semangat patriotik dan memekarkan kecintaan rakyat terhadap negara.
Ainool Husaini yang juga Setiausaha Kerja UMNO Siswa Malaysia berkata, tindakan tersebut adalah satu sindiran terang-terangan terhadap semangat patriotik yang sepatutnya menjadi suatu kesatuan di antara kita.
Katanya lagi, logo yang mereka hasilkan adalah tidak lebih dari satu lelucon yang merendahkan martabat semangat kemerdekaan.
“Penggunaan elemen yang berkaitan dengan logo parti mereka adalah satu penghinaan terhadap nilai-nilai perpaduan dan usaha bersama dalam merealisasikan Malaysia yang merdeka. Ini adalah satu langkah yang menodai warisan sejarah kita yang semestinya dijaga dan dihormati.
“Sebagai sebuah negara yang berpersekutuan, Malaysia mempunyai struktur kuasa federal yang menggariskan pentingnya perpaduan di antara negeri-negeri dan. Hari Kemerdekaan merujuk kepada satu perjuangan bersama di bawah payung Kerajaan Persekutuan.
Justeru, sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri haruslah dilakukan bersama-sama sebagai tanda kebersamaan dan komitmen terhadap nilai-nilai perpaduan. – UTUSAN










