SANDAKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Batu semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, bot dinaiki mangsa bersama lima ahli keluarga yang lain karam semasa dalam perjanan dari Jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, semasa kejadian kesemua mangsa terjatuh ke dalam air dan lima daripada mereka berjaya diselamatkan manakala, seorang kanak-kanak masih hilang.

Beliau berkata, mangsa hilang dikenali sebagai Romy Azlan berusia tujuh tahun berbangsa Suluk.
“Mangsa bersama keluarga menaiki bot terbabit dipercayai bertolak dari jeti Pulau Timbang menuju ke Kampung Mumiang dengan membawa enam orang penumpang termasuk dua orang kanak-kanak.
“Namun dalam perjalanan bot dinaiki dipercayai terlanggar satu objek terapung menyebabkan ia telah hilang kawalan lalu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan.
Zainudin berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 4 petang semalam bagi mengesan kanak-kanak hilang yang dikhuatiri lemas itu. Pangkalan hadapan Carilamat turut diwujudkan bagi mengkoordinasi pencarian tersebut.
Menurut beliau, Bot Peronda Banggi 14 dan Bot Kilat 8 dari Zon Maritim Sandakan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melaksanakan pencarian awal mangsa.
Turut membantu pencarian Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot nelayan tempatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 yang beroperasi selama 24 jam.-UTUSAN










