BN, PH punya rekod baik tadbir negeri - Johari Ghani

BN, PH punya rekod baik tadbir negeri – Johari Ghani

JOHARI Abdul Ghani (dua dari kiri) mengiringi Juwairiya Zulkifli (kiri) berbual mesra dengan peniaga semasa menyantuni pengunjung dan peniaga sempena kempen PRN Selangor di Pasar Tani Taman AU2  di  Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru pengundi-pengundi di Selangor untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kerana kedua-dua gabungan politik itu mempunyai rekod baik semasa mentadbir kerajaan negeri. 

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, gabungan PH dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) mampu memberi impak positif secara menyeluruh, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara.  

“Selangor ini ditadbir BN selama 60 tahun, kemudian kita kalah dan diambil alih oleh PH dan kita tengok mereka (PH) boleh bawa perkara ini. Kita (BN) pula sudah kalah dan sekarang bergandingan bersama mereka. 

“PH ada pengalaman mentadbir negeri manakala BN pula ada rekod 60 tahun mentadbir negeri. Jadi, apabila bergabung dan boleh buktikan kepada rakyat, akhirnya rakyat akan mendapat manfaatnya,” kata bekas Menteri Kewangan II itu kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menyantuni pengunjung dan peniaga Pasar Tani Taman AU2 bersama calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli, sempena kempen PRN, 12 Ogos ini.

Juwairiya berdepan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili Perikatan Nasional (PN). 

Mengulas mengenai manifesto PN yang menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor membabitkan nilai lebih RM2 bilion, Johari berkata, pentadbiran sesebuah negeri bergantung kepada kestabilan politik dan pemimpin kompeten.

“Apa pun dijanjikan atau rangsangan yang akan diberi, paling penting dalam mana-mana negara atau negeri yang ingin ditadbir adalah kestabilan politik. Kalau tiada kestabilan politik, tidak boleh.

“Selain itu, mesti ada pemimpin yang kompeten daripada peringkat atas hingga bawah iaitu wakil rakyat. Mesti faham bagaimana pentingnya ada pemimpin dan wakil rakyat yang kompeten, manakala yang lain akan datang secara automatik. 

“Jika kedua-dua perkara ini tiada, maka akan jadi masalah. Itu sebabnya kalau tengok negara besar di luar, habis sahaja pilihan raya mereka akan habis berpolitik. 

“Kita pula habis pilihan raya, bangun esok pagi ada lagi politik, malah 365 hari cerita politik akhirnya rakyat yang akan berdepan masalah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya