HULU TERENGGANU: Penduduk di Kampung Nibong, dekat sini berada dalam kebimbangan susulan laporan kes pecah rumah dan samun bersenjata melibatkan beberapa kediaman di kampung itu, minggu ini.
Tinjauan mendapati, penduduk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengadakan rondaan keselamatan untuk mengawal kejadian itu daripada lebih kerap berlaku.
Seorang penduduk, Zaid Zakaria, 69, berkata, dalam kejadian pada awal pagi Sabtu lalu, rumahnya menjadi sasaran sekumpulan penyamun terlibat namun gagal dipecah masuk.
“Ketika keluar ke surau sekitar pukul 5.45 pagi, saya dapati pintu pagar terbuka. Walaupun rasa pelik kerana telah menutupnya pada malam hari namun tidak terfikir apa-apa.
“Pulang dari surau saya periksa keliling rumah lalu dapati ada kesan umpilan pada pintu dapur, ada orang cuba pecah masuk rumah. Tiada barang-barang yang hilang.
“Tidak lama kemudian, saya dapat tahu ada rumah kejiranan dipecah masuk namun kebetulan ketika itu rumah itu kosong kerana tiada orang di rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Zaid berkata, dia semakin dihimpit perasaan bimbang setelah kes berkenaan kembali berlaku pada awal pagi Ahad lalu hingga menyebabkan mangsa bukan sahaja disamun tetapi diacu parang serta diikat kedua-dua tangan.
Seorang lagi penduduk, Suhaizan Yatim, 36, berkata, masyarakat di kampung ini bimbang terhadap keselamatan keluarga masing-masing berikutan kejadian pecah rumah sering berlaku.
Katanya, langkah kawalan keselamatan kampung menerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) membantu memulihkan kembali keyakinan penduduk terhadap tahap keselamatan di kampung tersebut.
Sementara itu, Ketua SRS Kampung Nibong, Hazidi Hasan, 43, berkata, pihaknya kini meningkatkan lagi rondaan sebagai usaha mencegah kes jenayah berkenaan.
“Kali ini kita gandakan jumlah anggota SRS antara 30 hingga 40 anggota berbanding sebelum ini kira-kira lima hingga 10 orang yang jalankan rondaan setiap malam.
“Bagi keluarga yang ahli keluarga sedikit kita tidak galakkan ketua keluarga keluar rumah pada sebelah malam sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya. – UTUSAN










