PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat isu tular yang mendakwa 54, 000 warganegara China memohon kerakyatan negara ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, dakwaan itu adalah satu isu yang sangat serius dan rakyat Malaysia berhak mengetahui kesahihannya.
“Walaupun dinafikan Menteri KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan paling beria-ia menafikan pula Menteri Komunikasi dan Digital, isu ini perlu disiasat segera.
“Bukan soal fitnah atau tohmahan, tetapi rakyat Malaysia berhak mengetahuinya. Kita tidak mahu kedaulatan negara kita diceroboh sewenang-wenangnya apatah lagi daripada pihak dalaman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini menafikan perkara itu, malah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut menepis dakwaan kementeriannya sedang dalam proses memberikan kerakyatan Malaysia secara besar-besaran kepada warga asing terutama dari China.
Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meminta orang ramai berhenti menyebarkan fitnah berhubung dakwaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Razali berkata, rakyat sudah tentu mahukan isu tersebut ditangani secara bijak dan tuntas.
“Mana mungkin pokok bergoyang begitu sahaja kalau tiada angin yang bertiup! Angka 54,000 ini terlalu besar.
“Kedaulatan negara perlu dipertahankan, keistimewaan rakyat Malaysia perlu dilindungi,” tegasnya. – UTUSAN