Bekas pengurus syarikat tipu ejen Perkeso didenda RM45,000 - Utusan Malaysia

Bekas pengurus syarikat tipu ejen Perkeso didenda RM45,000

MUHAMMAD AL BUKHARI Abdullah (kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang bagi berdepan pertuduhan menipu ejen Perkeso bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM22,880 dua tahun lalu. - Pic: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Seorang bekas pengurus syarikat didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan menipu ejen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM22,880 dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Al Bukhari Abdullah, 38, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan keempat, tertuduh didakwa secara tidak jujur menipu ejen Perkeso bagi menuntut insentif bawah program itu.

Tertuduh yang ketika itu pengurus Syarikat Vshine Metal & Plastic Trading didakwa dengan niat memperdayakan Perkeso dengan mengemukakan dua nama dalam senarai pekerja Data Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) sedangkan individu yang dinamakan itu bukan kakitangan syarikat berkenaan.

Perbuatan itu mendorong Perkeso menyerahkan RM9,280 dan RM13,600 ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh.

Muhammad Al Bukhari dituduh melakukan kesalahan itu di Perkeso Pulau Pinang di Seberang Perai Tengah antara 22 November dan 5 Disember 2021.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan dibantu Noor Azura Zulkiflee.

Terdahulu, peguambela, V. Parthipan merayu denda minimum dikenakan atas faktor anak guamnya mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak.

Katanya, tertuduh turut berdepan masalah kewangan dan kini dalam proses penceraian selain perlu menyara dua anaknya yang masing-masing berusia tiga dan satu tahun.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin membantah hukuman minimum susulan kes itu membabitkan kepentingan awam.

“Terima kasih kepada tertuduh kerana mengaku bersalah dan memendekkan tempoh perbicaraan, namun mahkamah perlu memberikan hukuman sewajarnya sebagai ‘correct message’ buat orang ramai,” katanya.

Hakim Zulhazmi kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda RM10,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama dan denda RM35,000 atau enam bulan penjara bagi pertuduhan keempat.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua dan ketiga yang turut dikemukakan untuk kes itu, ia dipertimbangkan untuk diputuskan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya