Baby Shima belum disenarai untuk Festival Cinta Ummah

Baby Shima belum disenarai untuk Festival Cinta Ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Penganjur Festival Cinta Ummah memaklumkan pihaknya akan melibatkan penyertaan artis-artis yang sudah berhijrah sepenuhnya semasa acara yang bakal berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), 1, Pahang, bermula 31 Ogos sehingga 3 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Empire Daie Holding Berhad (EDHB), Zainizam Mat Daud berkata, pihaknya belum bersedia untuk memanggil artis-artis lain mengadakan persembahan semasa konsert kerohanian Islam yang bakal berlangsung semasa festival nanti.

“Kita tak letak syarat artis tertentu tak boleh datang. Namun, konsep yang kita bawa adalah Islamik yang sudah tentu memerlukan artis bersesuaian dengan konsep sedemikian.

“Kalau selitkan artis lain (belum berhijrah), kita bimbang akan jadi isu dan timbul fitnah di kemudian hari. Sebab itu, kita undang artis yang sudah berhijrah serta dalam masa sama menarik artis lain bersama kita walaupun belum berhijrah.

“Hijrah ini maksudnya mereka yang istiqamah dengan iman dan amal serta sunnah nabi. Kalau artis seperti Baby Shima atau mana-mana artis sekalipun, mungkin kita boleh bekerjasama untuk lokasi seterusnya seperti di Melaka dan Putrajaya,” katanya semasa sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Lebih 10 artis bakal terlibat dalam festival yang bakal berlangsung selama 72 jam itu, antaranya seperti Datuk Nash, Daqmie, Dr Sam, Ali XPDC, Mawi, Derry Sulaiman dan Yabang Khalifah.

Festival selama tiga hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti selawat, qasidah, aktiviti keagamaan serta perkongsian penghijrahan selebriti.

Zainizam berkata, pihaknya juga menyasarkan kehadiran 8,000 hingga 10,000 pengunjung bagi memeriahkan festival, selain membuka peluang rezeki kepada peniaga Islam.

“Kita juga ingin membantu ekonomi umat Islam serta mengajak peniaga dan pengunjung supaya taat pada perintah Allah.

“Festival ini juga akan menjelajah seluruh negara serta melibatkan kerjasama dengan masjid negeri,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN