MENGHASILKAN drama bersiri bukan perkara mudah kerana menuntut idea dan kreativiti yang tinggi. Lebih-lebih lagi buat stesen televisyen yang perlu bersaing dengan stesen penyiaran lain.
Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah berkata, pihaknya bersyukur apabila mendapat maklum balas baik daripada penonton hasil daripada drama bersiri yang pernah dihasilkan.
Bagi menilai kejayaan sesebuah program di Astro, pihaknya menjelaskan mempunyai sistem dan kaedah standard yang diguna pakai oleh badan-badan penyiaran seperti Dense Tracking and Mapping in Real-Time (DTAM).
“Selain itu, maklum balas yang kami terima menerusi sosial media dan platform-platform digital juga diambil kira, membuktikan program-program tersebut trending dan mendapat perhatian,” katanya kepada Hits.
Astro menerusi Gempak hadir dengan sisipan slot ‘B.A.R.I.S.T.A : Misi Terpaling Sulit’ yang membawa konsep spy comedy dengan gandingan pelakon utama, Sherry Alhadad dan Kamal Adli.
Mengisahkan sebuah agensi perisikan Andorsia iaitu sebuah negara Komanwel fiksyen yang sering terlibat dengan misi-misi perisikan, anti-pengganas serta penyiasatan antarabangsa.
Disoal pemilihan slot pada pukul 11 malam, Syazwan berkata, Astro Gempak sememangnya mempunyai slot di Astro Ria setiap hari Khamis, pada waktu tersebut.
“Jadi kami mengisi slot tersebut dengan drama-drama bersiri menerusi jenama Gempak Original Series dengan menawarkan tema, jalan cerita dan plot-plot yang segar dan berlainan.
“Selain siaran di televisyen pukul 11 malam, kami juga sering menguar-uarkan semua drama ini boleh ditonton menerusi platform Astro Go dan Astro On Demand pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya.
Sejak jenama Gempak Original Series dilancarkan pada 2021, Syazwan berkata, pihaknya sudah menerbitkan 13 drama bersiri seperti The Maid dan The Maid 2, Ahli Bapak Bapak Club, Tikam, Ex Aku Pontianak, Gadis EXXtra serta Scammer Geng Marhaban.
Kewujudan Gempak Original Series adalah untuk memberi lebih pilihan dan variasi kepada penonton dan bukan untuk menggantikan mana-mana slot drama sedia ada di Astro Ria.
APA KATA PELAKON?
Sherry AlHadad sanggup menukar penampilannya agar kelihatan berbeza menerusi drama bersiri itu.
Memegang watak sebagai Ejen M, katanya, dia teruja melakonkan watak tersebut kerana perlu mencari rambut palsu bersesuaian dan tidak mudah tercabut.
“Sampai saya terlupa perlu buat aksi bertarung sehingga sesi baca skrip. Ejen M adalah seorang ejen yang mempunyai kuasa hebat iaitu ‘lempangan maut’.
“Semua aksi dalam drama ini saya buat sendiri sebab tak jumpa pelakon lagak ngeri sama saiz dengan saya,” katanya.