Wadi al-Rowha’, lembah syurga di alam nyata

Wadi al-Rowha’, lembah syurga di alam nyata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Antara lokasi bersejarah yang berkait rapat dengan peristiwa Peperangan Badar adalah Masjid al-Rowha’.

Masjid ini mendapat namanya kerana terletak di kawasan lembah, Wadi al-Rowha’.

Sebagai lokasi penting dalam sejarah perjuangan Rasulullah SAW, kerajaan Arab Saudi turut membaik pulih masjid ini dan kawasan sekitarnya.

Bahkan, turut membina sebuah masjid baru yang besar bagi memberikan keselesaan kepada para pengunjung Masjid al-Rowha’.
Keistimewaan

Masjid al-Rowha’ berada di lembah al-Rowha’ atau nama lainnya Sajasid yang merupakan satu lembah syurga.

Lembah ini pernah dilalui oleh para nabi sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW semasa mereka menuju ke kota Mekah untuk melaksanakan ibadat haji.

Bahkan di akhir zaman nanti, Nabi Isa turut akan melalui wadi ini semasa menuju ke Mekah untuk ibadah haji.

Selain itu, ia juga pernah menjadi lokasi solat Rasulullah SAW semasa singgah berehat di Wadi al-Rowha’.

Bahkan Baginda juga menyatakan masjid ini pernah menjadi lokasi solat 70 orang nabi sebelumnya.

Kelebihan-kelebihan ini adalah berdasarkan satu hadis berstatus lemah yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Tobaroniyy dalam al-Mu‘jam al-Kabir bahawa Saidina ‘Amr bin ‘Awf al-Muzaniyy menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Ini adalah Sajasid yang merupakan satu lembah daripada lembah-lembah syurga. Sesungguhnya seramai 70 orang nabi telah melaksanakan solat di masjid ini sebelumku. Sesungguhnya [Nabi] Musa pernah melalui lembah ini dalam keadaan Baginda ketika itu memakai dua helai jubah yang kedua-duanya berbelah tengah, tidak berlengan, berwarna putih dan tidak labuh.

“Baginda saat itu mengenderai seekor unta betina. Baginda bersama-sama dengan 70 ribu orang daripada Bani Israel menuju ke al-Bayt al-‘Atiq (Kaabah) bagi menunaikan haji. Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah [Nabi] Isa putera Maryam yang merupakan hamba Allah dan rasul-Nya melalui lembah ini dalam keadaan Baginda sedang di dalam ibadah haji atau umrah atau Allah menggabungkan kedua-duanya untuk Baginda”.

 

TELAGA
Tidak jauh dari Masjid al-Rowha’ terdapat sebuah perigi yang dinamakan Telaga al-Rowha’.

Jaraknya hanyalah sekitar 20 meter sahaja.

Menurut Dr. Nizâr Mahmud di dalam karyanya yang berjudul Nasâ’im al-Ma‘âlim; Rasulullah SAW telah minum air yang ditimba dari telaga itu.

Bagaimanapun saya belum menjumpai sebarang kenyataan dalam kitab-kitab ulama silam mengenai perkara ini.

Namun tidak mustahil Baginda dan para nabi sebelum ini pernah minum air telaga ini kerana Wadi al-Rowha’ satu ketika dahulu menjadi tempat persinggahan para kafilah.

 

RASULULLAH DATANG DARI KECIL
Sejarah mencatatkan keberadaan Rasulullah SAW di wadi ini berulang kali.

Kali pertama Baginda sampai di Wadi al-Rowha’ adalah ketika berusia enam tahun semasa bermusafir bersama ibunya dari Mekah ke Yathrib bagi menziarahi pusara bapanya.

Menurut kitab Yawmiyyat al-Siroh al-Nabawiyyah al-Mu-sharrofah; Rasulullah SAW berada di wadi ini pada petang Isnin, 17 Rabiulawal tahun 47 sebelum hijrah bersamaan 22 Februari 577 Masihi.

Rasulullah SAW, Saidatina Aminah Wahb dan Saidatina Ummu Ayman bermalam sebentar di Wadi al-Rowha’ sebelum meneruskan perjalanan pada malam sama.

Setelah genap sebulan di Yathrib, Baginda bersama-sama Saidatina Aminah Wahb dan Saidatina ’Ummu ’Ayman tiba semula di Wadi al-Rowha’ pada petang Ahad, 22 Rabîulakhir tahun 47 sebelum hijrah bersamaan 28 Mac 577 Masihi.

Setelah berehat sebentar pada malam itu, rombongan Rasulullah SAW melanjutkan semula perjalanan ke Mekah.

Dua hari kemudian, Saidatina Aminah Wahb meninggal dunia pada Rabu, 25 Rabiulakhir tahun 47 sebelum hijrah bersamaan 31 Mac 577 Masihi semasa mereka berada di al-’Abwâ’.
Perang Badar

Rasulullah SAW dan para tentera Islam sampai di telaga al-Rowha’ pada siang hari Selasa, 10 Ramadan tahun kedua Hijrah bersamaan 6 Mac tahun 624 Masihi semasa dalam perjalanan jihad menuju ke medan Badar.

Di situ, Baginda meminta pandangan sahabat kerana golongan Musyrikin Mekah sudah mengetahui perjalanan Baginda dan para tentera yang seramai 300 orang sahaja.

Sebahagian sahabat berpandangan agar tidak melanjutkan perjalanan kerana tujuan utama mereka sebenarnya hanyalah menyekat kafilah perdagangan Saidina ’Abu Sufyan yang ketika itu belum lagi memeluk Islam.

Namun setelah Rasulullah SAW terus-menerus meminta pandangan, akhirnya Saidina al-Miqdad bin ‘Amr berkata:

“Kalau begitu, kami sama sekali tidak akan berkata kepada anda wahai Rasulullah apa yang telah dinyatakan oleh kaum [Nabi] Musa kepada Baginda: Pergilah kamu dan tuhanmu lalu berperanglah kalian berdua manakala kami pula akan duduk di sini.”

Oleh kerana peperangan besar bakal terjadi, Rasulullah SAW meminta Saidina Abu Lubabah segera pulang ke Madinah bagi menjaga keselamatan penduduk manakala baginda dan tentera Badar melanjutkan perjalanan pada hari itu juga.

Akhirnya setelah Allah memberikan kemenangan kepada tentera Islam dalam Peperangan Badar pada siang Jumaat, 13 Ramadan tahun kedua Hijrah bersamaan 9 Mac tahun 624 Masihi, Rasulullah SAW dan tentera setelah selesai melaksanakan solat Zohor di Badar pada siang Ahad, 15 Ramadan tahun kedua Hijrah bersamaan 11 Mac tahun 624 Masihi telah meninggalkan medan peperangan menuju ke kota Madinah.

Baginda dan para tentera tiba semula di Telaga al-Rowha’ pada Subuh hari Rabu, 18 Ramadan tahun kedua Hijrah bersamaan 14 Mac tahun 624 Masihi.

Para sahabat Rasulullah SAW yang tidak menyertai peperangan itu akhirnya tiba di Telaga al-Rowha’ lalu mengucapkan tahniah kepada Baginda atas kemenangan di Badar.

Mereka tidak menyangka berlaku peperangan besar di Badar kerana tujuan asal Rasulullah SAW dan para sahabat keluar hanyalah untuk menyekat kafilah perniagaan golongan Musyrikin Mekah yang seramai 30 hingga 40 orang sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN