GOMBAK: “Ayah seorang dermawan, mudah mesra dengan rakyat dan masyarakat sekeliling.”
Demikian kata Muhammad Hafiz Naquiddin, 22, anak kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Katanya, tidak ada perkataan yang boleh diungkapkan mengenai perasaan yang dihadapinya ketika ini, namun jelas baginya perasan sedih dirasai kerana kehilangan seorang bapa.
“Tiada apa yang saya boleh katakan selain memohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia kepada Allahyarham. Semoga Allah mengurniakan darjat yang tinggi kepadanya dan dimasukkan ke dalam syurga, insya-Allah.
“Semua momen gembira dan sedih selama 22 tahun saya hidup bersama ayah jadi kenangan untuk saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, di sini hari ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.
Muhammad Hafiz yang juga pelajar jurusan Bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) mengetuai bacaan talkin buat bapanya itu. – UTUSAN










