Anggota keselamatan beralih arah undi PN

Anggota keselamatan beralih arah undi PN

JALALUDDIN Alias ketika ditemui pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Undi anggota keselamatan dilihat turut beralih arah dengan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) di Terengganu dan Negeri Sembilan kali ini.

Menurut sumber, undi awal yang diterima dari sebuah kem tentera di negeri ini jelas menyatakan sokongan kepada PN dengan undian kira-kira 77 peratus.

“Hanya 23 peratus undi awal masih diberi kepada Kerajaan Perpaduan gabungan Pakatan Harapan (PH)  dan Barisan Nasional (BN).

“Selama ini, kem tentera atau kuarters polis sering dianggap kubu kuat kerajaan pemerintah sebagai kawasan ‘safe deposit’, malangnya situasi itu tidak berlaku di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam PRN kelmarin, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyapu bersih kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dengan majoriti yang jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Malah, Datuk Ahmad Amzad Hashim juga berjaya mengekalkan kemenangannya dengan majoriti lebih banyak berbanding PRU-15 tahun lalu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, undian di beberapa kem tentera lain juga menunjukkan trend yang sama di seluruh negara.

“Malah, di saluran satu pun, undi lebih banyak diberi kepada PN. Ini adalah signal penting untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari puncanya dan segera buat penambahbaikan.

“Pasti ada sebab peralihan undi awal  ini begitu ketara berbeza berbanding apa yang diterima pada PRU14 lalu,” katanya.

Sementara itu di Seremban, BN negeri akan melakukan post-mortem susulan kekalahan tiga kerusi DUN iaitu Bagan Pinang, Gemas dan Serting.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, post-mortem itu akan dilakukan secepat mungkin.

“Soal punca kita belum tengok lagi, saya akan tengok dan lihat dengan lebih terperinci, post-mortem akan dibuat secepat mungkin, tengok sebab dan punca kekalahan di kerusi yang diwakili oleh BN.

“Isyarat awal diberikan adalah kerana kami tidak dapat sokongan daripada tentera,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini malam tadi.

Ditanya mengenai isu jawatan Menteri Besar, Jalaluddin berkata perkara itu diluar bidang kuasanya dan menyerahkan ia kepada kepemimpinan parti.

“Soal itu bukan urusan dan kuasa saya, soal Menteri Besar itu saya serahkan kepada pemimpin kita. Banyak kemungkinan akan berlaku itu saya serahkan kepada presiden dan ketua parti untuk buat keputusan,” katanya lagi.

Dalam pada ketika ditemui di Kuala Klawang sebelum itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memberitahu akan mengadakan pertemuan segera dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam Parlimen itu.

Beliau yang turut memenangi kerusi DUN Pertang berkata, pertemuan itu bertujuan mengatur strategi dan gerak kerja pembangunan dan pembelaan rakyat sebaik saja diberi mandat dalam PRN kali ini.

“Amat penting bahawa apa yang dijanji sebelum PRN sama ada manifesto negeri atau manifesto kawasan masing-masing mesti ditunaikan dan dilaksanakan oleh semua wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan.

“Masa untuk berpolitik telah tamat dan semua wakil rakyat mesti mula bekerja seawal 13 Ogos menjalankan tugas dan pembelaan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN