Amelia tak perlu minta maaf, padam video sehingga 24 Oktober - Utusan Malaysia

Amelia tak perlu minta maaf, padam video sehingga 24 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan bersetuju memberikan pelaksanaan penggantungan kepada pelakon Amelia Henderson terhadap plaintif, A Aida Production Sdn Bhd.

Pihak Amelia tidak perlu membuat permohonan maaf atau memadam video berkaitan A. Aida Production Sdn. Bhd. sehingga rayuan penuh di Mahkamah Tinggi pada 24 Oktober.

“Kami berjaya mendapatkan pelaksanaan penggantungan daripada Hakim Zulqarnain Hassan.

“Oleh itu, Amelia tidak perlu memohon maaf dan memadam video sehingga  tempoh rayuan kepada mahkamah tinggi pada 24 Oktober nanti, tamat.

“Pada tarikh itu juga mahkamah akan menentukan sama ada Amelia perlu membayar  RM200,000, atau kurang, atau tidak perlu bayar sama sekali tuntutan ganti rugi itu,” kata peguam mewakili Amelia, Wan Nurliyana Abdul Rahman.

Mahkamah juga bersetuju bayaran RM200,000 tidak diberikan pada waktu ini sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun peguam kedua-dua pihak.

Sementara itu, pelakon filem Pulau itu berharap agar kemelut tersebut dapat diselesaikan secara adil di muka pengadilan.

“Sepanjang proses saya mengharapkan semua pihak terima keadilan. Sebab itu saya naik mahkamah.

“Kita ada sistem untuk cari kebenaran dalam apa jua kes untuk dapatkan resolusi dan kesimpulan tepat.

“Apa-apa terjadi saya akan hormat keputusan seperti sepanjang kes berlangsung,” tambahnya.

Terdahulu, pada 7 April lalu, Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Amelia selaku defendan membayar ganti rugi kepada A Aida menerusi syarikatnya, A Aida Production Sdn Bhd kerana melanggar kontrak penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Amelia perlu membayar ganti rugi RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada A Aida selaku plaintif.

Bukan itu sahaja, Amelia turut dihalang daripada menerbitkan kenyataan fitnah terhadap plaintif, memadam video berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf menerusi akaun Instagramnya ameliath dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN