TELUK INTAN: Sebanyak enam buah rumah dan tiga motosikal musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Mak Intan, Kampung Terengganu di sini tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu diterima pada pukul 12.40 tengah malam.
Katanya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dibantu BBP Hutan Melintang bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan dan PBS Batu 12 diatur gerak ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Setibanya anggota di lokasi, api didapati marak membakar enam buah rumah kelas B dengan anggaran kemusnahan 90 peratus.
“Tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran itu. Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal pada pukul 1.12 pagi,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 400 kaki dengan lima pancutan di bahagian depan, belakang dan sisi rumah menggunakan sumber air dari pili bomba serta tangki jentera.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Operasi yang turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pasukan polis itu tamat pada pukul 3.04 pagi,” katanya. – UTUSAN










