Amelia berjaya tangguh permohonan maaf, bayar ganti rugi RM200,000

Amelia berjaya tangguh permohonan maaf, bayar ganti rugi RM200,000

Amelia Henderson
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon drama Cik Ayu Mee Sanggul, Amelia Henderson tidak perlu mengemukakan permohonan maaf kepada syarikat produksi A. Aida Production selepas Mahkamah Sesyen di sini membenarkan penangguhan berhubung perkara itu.

Hakim Zulqarnain Hassan dalam menggunakan budi bicaranya sewaktu membenarkan permohonan penggantungan perintah itu mengatakan, ia disebabkan terdapat rayuan berhubung perintah tersebut.

“Mahkamah menggunakan budi bicara dan membenarkan permohonan penggantungan perintah yang menghendaki permohonan maaf secara terbuka dan yang menghendaki penghapusan video daripada akaun Instagram defendan pertama (Amelia).

“Bagi perintah bayaran, mahkamah membenarkan penggantungan, namun mahkamah memerintahkan bayaran bagi jumlah penuh penghakiman (lebih RM200,000) dimasukkan ke dalam akaun bersama pelanggan yang diuruskan secara bersama oleh kedua peguam cara iaitu peguamcara plaintif Tetuan Zulpadli & Edham dan peguamcara defendan pertama, Tetuan Wan, Nikkitaraj & Co.,” ujar hakim terbabit.

Pada 7 April lalu, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28, membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A. Aida Production Sdn. Bhd. selepas didapati melanggar kontrak lakonan dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

Mahkamah turut memerintahkan Amelia untuk memohon maaf dan memadam video di Instagram mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu.

Pada 18 April lalu, pelakon terbabit memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Pada 28 Julai 2022, A. Aida Production menyaman Amelia dan seorang lagi pelakon, Idris Khan berhubung pelanggaran kontrak drama berkenaan apabila kedua-dua pelakon itu menarik diri di saat akhir daripada penggambaran drama terbabit.Bagaimanapun, pada 1 November 2022, saman terhadap Idris ditarik balik selepas pelakon lelaki itu dan pemilik syarikat produksi terbabit, Datuk A. Aida berjaya mencapai kata sepakat dan menyelesaikan kes secara baik.

Menurut pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa Amelia menerima bayaran pertama sebanyak RM3,920 selepas menandatangani perjanjian kontrak serta bersetuju memberi sepenuh komitmen bagi menjayakan drama berkenaan.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa Amelia membuat keputusan untuk menarik diri walaupun terdapat rundingan antara kedua-dua pihak sebelum notis penamatan kontrak diberikan kepada pelakon itu.

Sementara itu, ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat syarikat guaman Fernandez dan Selvarajah semalam, Amelia menyatakan rasa terkilan kerana dituduh sombong dan degil disebabkan keengganannya berundur daripada isu pelanggaran kontrak bersama A. Aida Production Sdn. Bhd.

Katanya, sepanjang bekerja di dalam industri hiburan sejak berusia 10 bulan, dia sendiri tidak pernah menyangka berdepan situasi seperti ini.

“Saya tahu ada komen yang menganggap saya degil dan sombong kerana mengambil keputusan untuk memperjuangkan kes ini. Saya tahu, kalau orang lain, mungkin mereka tidak akan memilih jalan ini.

“Selama 27 tahun di dalam industri, saya tidak pernah membayangkan akan berdepan situasi ini,” katanya.

Amelia pada masa yang sama memaklumkan terkesan dengan isu berkenaan namun yakin dengan rezeki dan reputasi baik yang dibinanya selama ini.

“Semestinya ambil berat tentang kerjaya. Saya tidak akan buat perkara yang boleh menghancurkan karier yang saya bina sepanjang hidup saya.

“Rezeki bukan di tangan manusia, semuanya di tangan Tuhan,” tambahnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN