PETALING JAYA: Mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden tidak akan dapat menyelesaikan ujian berat yang dihadapi parti tersebut.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, semua pihak perlu berhenti menuding jari dan menggalas beban secara bersama kerana apa yang dihadapi oleh parti adalah tanggungjawab semua.
Kata beliau, semua wakil UMNO dalam kabinet Kerajaan Perpaduan perlu melaksanakan tugas dengan jayanya bagi memastikan parti mendapat semula sokongan pengundi-pengundi Melayu.
“UMNO perlu dapat balik sokongan orang Melayu. Menteri-menteri UMNO mesti serious menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.
“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam kerajaan perpaduan. Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini, dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, isu kepercayaan terhadap kepemimpinan dan dasar parti menjadi faktor UMNO ditolak orang Melayu dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang ber akhir kelmarin.
Daripada 108 kawasan yang ditandingi parti terbesar orang Melayu itu, UMNO hanya mampu menawan 19 daripadanya walaupun memilih berada dalam gabungan PH.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu digesa untuk meletakkan jawatannya.
Sementara itu, Mohd. Puad membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Pengerusi BN itu meletakkan jawatan sedangkan sebelum ini beliau tidak melepaskan jawatan apabila menghadapi situasi sama.
“Muhyiddin angkuh bila suruh Ahmad Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor, dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya. -UTUSAN