PETALING JAYA: Pelakon, Riena Diana tidak mempunyai masalah sekiranya ditawarkan menjayakan adegan ranjang atau panas dalam sesebuah naskhah biarpun mungkin menerima kecaman ramai.
Bagaimanapun jelas pelakon Kampung People itu, adegan tersebut mestilah bukan sekadar sendalan atau dijadikan ‘modal’ penerbit melariskan drama mahupun filem yang dijayakan.
“Saya tidak kisah jika diminta berlakon adegan intim atau di ranjang. Sebab empat tahun lalu pun saya pernah menjayakan babak sebegitu dalam sebuah drama.
“Cuma ketika itu, jalan cerita drama tersebut lebih ke arah komedi. Malah, belum ada istilah viral lagi. Jadi babak saya didukung dan dicampak ke katil tidak menjadi bahan kecaman.
“Tetapi kesediaan saya itu bersyarat. Lihat kepada keperluan. Adakah adegan itu menjadi penguat plot cerita atau bersebab. Bukan hanya nak jual untuk lariskan naskhah,”ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap tentang perkembangan kerjaya, Riena mengharapkan ramai penerbit membuka ruang untuknya menggali dalam bakat lakonan dan tidak hanya dilabel sebagai pelakon komedi.
“Watak Lailer memang menyerlahkan nama saya dalam industri snei. Ramai yang masih lagi memanggil saya dengan nama Lailer, semuanya gara-gara Kampung People.
“Cuma itulah, ramai produser beranggapan saya tidak boleh bawa watak serius. Jadi saya kena berani dan tunjuk bakat serta kemampuan diri,”ujarnya yang pernah bergelar penyampai radio sebelum ini.