4 kali PRK dalam tempoh setahun

4 kali PRK dalam tempoh setahun

Abdul Ghani Salleh bercakap pada sidang akhbar berkenaan PRK DUN Pelangai di Menara SPR, Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang menjadi PRK keempat dilaksanakan tahun ini dengan sejumlah 16,456 pemilih bakal terlibat pada hari pengundian yang ditetapkan 7 Oktober ini.

Sebelum ini, Parlimen Kuala Terengganu muncul PRK pertama yang diadakan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu ekoran keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tahun lalu.

SPR kemudiannya me­netapkan 9 September ini bagi mengisi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Kekosongan kerusi luar jangka berlaku sekali lagi bagi DUN Pelangai susulan kematian pe­nyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, 17 Ogos lalu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan, tarikh penamaan calon bagi PRK berkenaan pada 23 September, manakala undi awal ditetapkan pada 3 Oktober melibatkan ha­nya 36 orang anggota polis selain tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

“SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu tiga orang Penolong Pegawai Pengurus dan me­nubuhkan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen.

“Pasukan ini turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Abdul Ghani, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

Katanya, seramai 312 orang petugas dilantik, manakala 10 pusat mengundi dengan 31 tempat mengundi bakal diguna pakai.

Bagi PRK kali ini, pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun berjumlah 7,639 atau kira-kira 53 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi bakal menentukan nasib parti-parti politik yang mahu merebut kerusi berkenaan.

Allahyarham Johari sebelum ini merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada PRU15 tahun lalu.

Beliau bersaing empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN