PETALING JAYA: Kira-kira 33 peratus atau 3.2 juta pengundi bukan Melayu dijangka menjadi penentu faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
PH dan BN mungkin tidak mempunyai masalah untuk mendapat kira-kira 2.8 juta undi pemilih bukan Melayu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Namun gabungan itu dilihat berdepan cabaran menarik sokongan 410,000 pengundi bukan Melayu di tiga negeri dikuasai PN.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, pengundi Melayu adalah penentu kepada kemenangan PH dan BN, manakala pengundi bukan Melayu penentu kepada PN.
Katanya, ini kerana setiap komuniti sudah mempunyai pilihan sendiri yang mana orang Melayu lebih memberi sokongan kepada PN, manakala PH pula adalah pengundi Cina.
“Jadi, PN kena pujuk pengundi Cina untuk dapat kelebihan dan PH-BN kena pujuk pengundi Melayu sebab masing-masing kena dapat sokongan merentas kaum untuk menang,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Sementara itu penganalisis politik, Prof. Dr. Wong Chin Huat berkata, pengundi Cina khususnya menolak PN kerana takut dengan kenyataan prejudis dan agresif pemimpin Pas.
“Selagi Pas terus mengecam anak Malaysia keturunan Cina, segala jaminan PN tidak akan meminggirkan bukan Muslim tidak akan dipercayai,” katanya.
Bagaimanapun Chin Huat yang juga Timbalan Ketua (Strategi) Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway berkata, kuasa pengundi Cina lebih rendah berbanding sebelum ini di kawasan campuran atau Melayu-majoriti.
“Kerana ramai yang berpindah ke Parti Aku Malas Undi (PAMU). Cuma di kawasan majoriti Cina, sokongan mereka kepada PH akan nyata berkesan iaitu kehilangan deposit calon PN dan Gerakan lain di banyak kawasan,” katanya. – UTUSAN