203,069 usahawan mikro terima peruntukan RM1.5 bilion - Utusan Malaysia

203,069 usahawan mikro terima peruntukan RM1.5 bilion

WAN Azizah Wan Ismail (tengah) beramah mesra bersama usahawan mikro pada majlis pelancaran Program Tuisyen Untuk Anak Sahabat Usahawan AIM di Kuala Nerus,  hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebanyak 203,069 usahawan mikro menerima peruntukan sebanyak RM1.5 bilion daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk membiayai perniagaan mereka dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. 

Pengarah Urusannya, Shahmir Aziz berkata, jumlah peruntukan itu adalah peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, pada tahun ini, AIM menjangka jumlah pembiayaan yang akan diberi kepada usahawan akan mencecah sehingga RM2.7 billion berdasarkan unjuran positif ekonomi negara ketika ini.

“Secara umumnya, memang setiap tahun menjelang hari raya, pembiayaan ini akan meningkat namun pada tahun ini, jumlahnya agak luar biasa iaitu 24 peratus.

“Lebih ramai golongan wanita yang mahu berniaga mencari rezeki dan kami di AIM akan membantu mereka dengan pembiayaan yang sesuai seterusnya membimbing mereka menjalankan perniagaan dengan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Peluncuran Program Tuisyen Untuk Anak Sahabat Usahawan AIM di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ditanya mengenai kadar bayaran balik pinjaman pula, Shahmir berkata, AIM berpuas hati kerana rekodnya sangat cemerlang iaitu pada tahap 99 peratus.

“Keberkesanan sistem pembiayaan AIM menyebabkan usahawan-usahawan ini tidak culas membayar balik pinjaman.

“Walaupun AIM tiada khidmat  pemungut hutang, penjamin atau cagaran, semua usahawan ini sangat berdisiplin membuat bayaran semula tanpa gagal,” katanya.

Ketika ini, terdapat 320,000 Sahabat AIM di seluruh negara yang terdiri daripada ibu tunggal, golongan B40 dan B50 yang berpendapatan bulanan RM5,300 ke bawah.

AIM ditubuhkan pada 17 September 1987 sebagai sebuah badan amanah persendirian yang diperbadankan di bawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258).

Ia telah membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan negara dan berjaya menjangkau empat juta isi rumah menikmati pelbagai manfaat menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (Ekonomi dan Sosial). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya