170,000 pekerja e-hailing miskin

170,000 pekerja e-hailing miskin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 170,000 pemandu e-hailing terpaksa bekerja lebih 14 jam untuk mendapat pendapatan RM150 sehari atau sekitar RM4,500 sebulan bagi menampung kehidupan harian mereka.

Namun jumlah itu perlu ditolak dengan pelbagai kos termasuk kadar insurans perkhidmatan yang melonjak 100 peratus.

Kos lain adalah bahan api, insurans tahunan kenderaan dan kos penyelenggaraan setiap bulan yang menyebabkan baki pendapatan pekerja e-hailing ramai kira-kira RM2,000 sebulan atau tidak sampai 50 peratus daripada RM4,500.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di Malaysia purata pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM2,589 sebulan dan ini bermakna pekerja e-hailing tergolong dalam kategori miskin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Gabungan e-hailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, pekerja e-hailing sangat berharap syarikat penyedia perkhidmatan dapat mengurangkan pengambilan komisen bagi setiap trip daripada 20 kepada 10 peratus.

Menurut beliau, ini bagi membolehkan penghantar mendapat pendapatan lebih banyak dan menampung pelbagai kos sampingan ditanggung mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, tuntutan itu tidak mendapat maklum balas daripada syarikat terlibat dan menyebabkan 170,000 pekerja e-hailing bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Jose berkata, antara bebanan yang sangat menekan pemandu e-hailing adalah mereka diwajibkan membayar insurans perkhidmatan yang kos hariannya RM3 sehari bagi kereta 1.5cc dan ke bawah berbanding sebelum ini hanya RM1.25 sehari.

“Setiap tahun pemandu e-hailing berhadapan kenaikan mendadak kadar insurans tambahan tersebut tanpa diberi penjelasan yang kukuh.

“Kami juga sudah meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menulis surat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mendapatkan punca berlakunya kenaikan kadar insurans tersebut.

“Kita tidak tahu apa justifikasi yang mereka gunakan sehingga boleh sesuka hati menaikkan kadar insurans ini. Jika kata pekerjaan e-hailing berisiko tinggi, mana bukti dan faktanya? Banyak ke tuntutan insurans e-hailing ini,” katanya ketika dihubungi.

Kata beliau, dengan kenaikan kadar insurans itu, rata-rata pekerja ekonomi gig itu hanya memperoleh pendapatan bersih kira-kira 33 peratus sahaja daripada upah yang diperoleh setiap hari mahupun setiap bulan.

“Dengan bekerja lapan jam hingga 14 jam sehari di bandar utama seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, kami boleh mendapat 10 ke 15 tempahan daripada penumpang dan memperoleh pendapatan kira-kira RM150 sehari.

“Kenaikan insurans perkhidmatan menyebabkan pemandu e-hailing terpaksa menanggung kos operasi sehingga RM2,500 setahun, ini memaksa mereka bekerja lebih daripada 14 jam sehari untuk menampung beban tersebut,” katanya.

Selain itu, kata beliau, tuntutan pekerja ekonomi gig hampir empat tahun lalu iaitu mengenai penetapan harga lantai lebih tinggi juga masih tidak mendapat respons kerajaan.

Malah, Jose berkata, bagi menjawab kenaikan insurans tersebut BNM hanya memberi alasan dengan mengatakan mereka sudah melaksanakan liberalisasi untuk institusi kewangan dan insurans.

“Jadi BNM seperti mengatakan ini adalah ‘supply and demand’. Macam mana boleh kata begitu? Sedangkan itu memang perkara diwajibkan untuk kami,” jelasnya.

Sementara itu, Jose menyangkal tanggapan bahawa pekerjaan ekonomi gig adalah pekerja bebas tetapi dakwanya mereka dikawal lebih daripada pekerja-pekerja biasa.

“Mereka punya manipulasi dan eksploitasi ini agak halus, tetapi inilah yang kami hadapi iaitu sistem kapitalis yang sangat ekstrem.

“Jika kami minta lakukan perubahan, mereka cakap takut membebankan pengguna, bagi kami itu tidak masuk akal. Sepatutnya dapatkan satu jumlah kos operasi dan baru tetapkan kadar lantai, jangan biar orang beroperasi sambil menanggung rugi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dapat dipercepat dan direalisasikan oleh kerajan supaya pekerja-pekerja industri gig diiktiraf dan dilindung di bawah undang-undang negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini