YBR bina ‘SIR CORNER’ di SM St. Michael

YBR bina ‘SIR CORNER’ di SM St. Michael

PHILIP Benedict Lasimbang (berdiri dua dari kanan), Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani (berdiri tiga dari kanan) dan Pengetua SM ST. Michael (berdiri paling kanan) bergambar pada upacara penyerahan ‘SIR CORNER’ dan perasmian pelancaran Program Kecemerlangan dan Kelas Bimbingan Butiza di Dewan SM St. Michael di Penampang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan ‘SIR CORNER’ yang dilengkapi lebih 100,000 kandungan digital di sebuah sekolah di Sabah, Sekolah Menengah (SM) St. Michael, menjadikan sekolah berkenaan sebagai yang pertama di negeri tersebut mempunyai Perpustakaan Digital.

‘SIR Corner’ di bawah Perpustakaan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) merupakan inisiatif yang dijalankan sejak tahun lepas bertujuan menyediakan satu ruang yang dilengkapi dengan set komputer, meja dan 50 keahlian E-Perpustakaan.

Kandungan di dalam pangkalan data SIR Corner menjadikan perpustakaan digital itu sebagai sebuah hab pendidikan tanpa sempadan.

Informasi yang berasaskan 80 peratus bahan bacaan digital dan 20 peratus bahan bacaan fizikal meliputi jurnal, buku-buku ilmiah, fiksyen, majalah serta akhbar dalam dan luar negara membuka peluang kepada pelajar di Sekolah St Michael menuntut ilmu pendidikan tanpa batasan.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, pelancaran ‘SIR Corner’ adalah bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan-bahan bacaan digital yang bersesuai dengan komuniti setempat.

Katanya, usaha itu juga menjadi salah satu strategi YBR dalam membantu masyarakat di Malaysia terutamanya dalam bidang pendidikan, baik di bandar mahupun di luar bandar.

“Bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu pihak sekolah meneruskan aktiviti pendidikan yang dirancang sepanjang tahun untuk membantu pelajar-pelajar serta dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan biasa sehingga ke peperiksaan sebenar.

“Secara tidak langsung inisiatif YBR ini dapat meningkatkan lagi prestasi sekolah ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, YBR turut menganjurkan Program Kecemerlangan Dan Kelas Bimbingan Butiza bagi mengambil peluang melalui guru berpengalaman bagi teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan.

Justeru, Philip berkata, beliau amat teruja di atas inisiatif yang dijalankan bagi peningkatkan prestasi pendidikan serta akademik murid sekolah khususnya mereka yang berada di sekitar Penampang.

“YBR sentiasa menyokong agenda pendidikan negara dan program sebegini mampu memberikan impak yang tinggi kepada pencapaian pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akan datang serta memberi manfaat kepada semua yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya