KOTA MARUDU: Seorang warga emas maut apabila dihempap jengkaut yang dikendalikannya di ladang kelapa sawit di Kampung Rosob, Pitas petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.41 petang itu, mangsa lelaki berusia 64 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu, Mohd. Hasbi Hajat berkata, ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan ladang, jentera yang dikendalikan terjatuh ke dalam gaung sedalam 80 meter.
Keadaan itu mengakibatkan mangsa dihempap jengkaut berkenaan.
“Semasa ketibaan pasukan bomba, didapati seorang mangsa telah dihempap dan tersepit di dalam sebuah jengkaut dan pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.24 petang.- UTUSAN










