Warga emas jurulatih Rela, masih gagah berkawad - Utusan Malaysia

Warga emas jurulatih Rela, masih gagah berkawad

RASHIDAH Yusoff (depan) mengendalikan latihan Rela di PLRWT, Kampung Kemat, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Usia tidak menjadi penghalang seorang warga emas yang juga nenek lapan cucu mencurah bakti sebagai jurulatih Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang diceburi sejak 25 tahun lalu.

Rashidah Yusoff, 62, yang kini bertugas di Pusat Latihan Rela Wilayah Timur (PLRWT), Kampung Kemat dekat sini masih mampu berkawad dengan baik dan me­lakukan pelbagai aktiviti termasuk di dalam hutan seperti termaktub dalam silibus kursus.

Menurutnya yang ber­asal dari Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, segalanya bermula hanya kerana minat melihat orang berkawad sehingga akhirnya nekad menyertai Rela pada 1996.

“Ketika itu saya suri rumah sepenuh masa, namun kerana terlalu minat kawad, saya sertai Rela dan ikuti kursus asas di Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan (kini dikenali sebagai Akademi Latihan Rela Malaysia).

“Sekitar 1999, saya terpilih sertai kursus jurulatih dan bertugas selama 10 tahun di akademi tersebut sebelum dipindahkan ke PLRWT sejak 15 tahun lalu hingga kini.

“Demi tugas dan tanggungjawab, saya ulang-alik dari Johor ke Terengganu menggunakan bas ekspres hampir setiap minggu. PLRWT sudah seperti rumah kedua saya,” katanya di sini semalam.

Tambah ibu lima anak ini, pelbagai reaksi di­terima daripada pelatih terutamanya pada pe­ringkat awal kursus setelah melihat wanita seusianya mengajar mereka terutamanya berkawad.

“Mungkin ada kurang yakin dengan kemampuan saya di peringkat usia macam ini, namun saya sentiasa berusaha melakukan yang terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN