BALING: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan tersepit dalam keretanya setelah kenderaan itu dipercayai terbabas kemalangan di kawasan cerun di Jalan Bukit Selambau-Kuala Ketil berdekatan Taman Chempaka, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Che Ishak Shaari, 72, dari Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil ditemukan selamat oleh orang awam dalam kereta jenis Proton Iswara pada pukul 7.45 pagi.
“Sebelum ini polis menjalankan siasatan berkenaan orang hilang yang aduannya dibuat di Balai Polis Gombak, Selangor oleh anaknya yang tinggal di Batu Caves.
“Hasil siasatan mendapati mangsa yang tidak mempunyai isteri kerap berada dan tidur di dalam keretanya di Stesen Bas Kuala Ketil sejak sembilan bulan lalu dan hanya sesekali pulang menjenguk rumahnya.
“Pada hari kejadian, mangsa memaklumkan kepada rakan untuk pergi ke rumah anaknya di Selayang dan sejak itu tiada khabar berita sehingga rakan mangsa dihubungi anak mangsa yang memintanya membantu mencari warga emas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan, kehilangan mangsa ditularkan oleh anak-anaknya di media sosial sebelum dia dijumpai terlibat dalam kemalangan terbabit.
Shamsudin berkata, mangsa dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Sementara itu, anak mangsa, Nurul Nadia, 31, berkata, kali terakhir menghubungi bapanya adalah pada malam Isnin lalu untuk bertanya khabar dan memujuknya datang ke rumah anak-anak di Kuala Lumpur.
“Bapa selalu bersama rakan-rakannya dan keadaannya sihat sahaja, tetapi dia ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan jantung, keesokkannya saya menghubunginya lagi tetapi tiada jawapan.
“Saya biarkan dahulu, mungkin bapa ada kerja yang hendak dibuat, apabila telefonnya tidak diangkat juga saya cuba telefon kawannya untuk bertanya tentang bapa dan kemudian dimaklumkan mereka juga cuba menghubungi dan mencarinya tetapi tidak ditemui,” katanya.
Menurut Nurul Nadia, mereka terus berusaha menghubungi mangsa sehinggalah telefon Che Ishak sudah tidak dapat dihubungi dipercayai akibat kehabisan bateri.
“Kami juga cuba cari di Hospital Daerah Baling, HSAH, Balai Polis Baling dan Kuala Ketil, tetapi tiada maklumat yang diterima sebelum abang membuat laporan polis memaklumkan kehilangan bapa.
“Namun sekitar pukul 7 pagi semalam, saya terima panggilan daripada orang awam yang menyatakan bapa telah dijumpai dalam kemalangan di Bukit Selambau, bapa tidak boleh keluar dari kereta kerana tersepit,” katanya. –UTUSAN










