IPOH: Unit Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mengalami kekurangan katil untuk pesakit yang serius, juga fasiliti rawatan lain di unit itu tidak mencukupi yang memerlukan perhatian segera daripada Kementerian Kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A.Sivanesan berkata, unit itu hanya mempunyai 30 buah katil dan keadaan itu sudah tentu membimbangkan jika berlaku kes kemalangan yang besar.
Menurutnya, unit itu memerlukan tambahan 30 unit katil lagi selain perlu dinaik taraf secara keseluruhan untuk keselesaan dan kemudahan pesakit.
“Saya minta Menteri Kesihatan turun padang untuk melihat sendiri keadaan unit kecemasan ini yang serba kekurangan.
“Kerajaan negeri sudah dua kali mahu bertemu dengan beliau untuk membawakan masalah ini ke peringkat kerajaan Pusat.
“Namun, menerusi surat pertama yang kami hantar, temujanji dengan menteri dibatalkan manakala surat kedua pula tiada maklum balas daripada pihak kementerian.
“Walaupun Timbalan Menteri Kesihatan dijadual akan ke Ipoh pada 15 Ogos ini, namun Menteri Kesihatan juga perlu datang dan melihat keadaan Unit kecemasan HRPB, ini bukan isu kecil,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Menurutnya, sebelum ini bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan peruntukkan RM6 juta sudah diluluskan untuk naik taraf wad tersebut.
“Namun untuk kerja naik taraf yang lebih lengkap, kira-kira RM16 juta diperlukan,” katanya.
Pada Februari lalu, kerajaan negeri memohon peruntukan tambahan bagi menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB bagi memberi keselesaan kepada pesakit. – UTUSAN