Gandingan ulama, profesional era baharu Pas

Gandingan ulama, profesional era baharu Pas

TUAN Ibrahim Tuan Man dillihat calon sesuai menggantikan Abdul Hadi bergandingan bersama Ahmad Samsuri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Muktamar Tahunan Pas ke-71, September ini merupakan masa paling sesuai untuk Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dikatakan mengalami masalah kesihatan untuk berundur sekali gus meninggalkan jawatan nombor satu parti itu.

Abdul Hadi yang sudah mene­rajui Pas sejak 2003 itu sudah tidak mempunyai apa-apa untuk dibuktikan lagi memandang­kan telah berjaya membawa Pas menjadi parti paling dominan di negara ini termasuk mempunyai bila­ngan ahli Parlimen paling ramai di Dewan Rakyat selain berjaya menguasai empat negeri.

Ahli Parlimen Marang yang merupakan bekas Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu juga selepas ini dilihat boleh berperanan sebagai penasihat parti sekali gus tidak perlu lagi dibebani dengan tanggungjawab besar menerajui parti Islam itu.

Antara calon dilihat sesuai menggantikan Abdul Hadi ialah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kalangan ulama serta gandingan bersama profesional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sekali gus bakal membawa era baharu parti itu yang lebih segar dan progresif.

Bagi pemerhati politik, mereka melihat bahawa sudah tiba masanya Abdul Hadi berundur bukan disebabkan beliau ditolak atau tidak layak sebalik atas faktor kesihatan.
Pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, jika Abdul Hadi berundur berkemungkinan Tuan Ibrahim iaitu Timbalan Presiden antara calon paling layak dan cukup sesuai memegang jawatan nombor satu parti itu.

Katanya, Abdul Hadi juga merupakan orang nombor dua parti sebelum diangkat sebagai Presiden bagi menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2003.

“Saya melihat memang patut Abdul Hadi berundur kerana yang pertama atas faktor kesihatan dan kedua, ini lah masa sesuai memandangkan Pas berada di kedudukan terkuat dalam politik negara ketika ini.

“Gandingan Tuan Ibrahim dan Samsuri sebagai Timbalan Presiden dilihat sesuai sekali gus mengekalkan kepemimpinan ulama. Jika kebanyakkan pimpinan profesional, dikhuatiri bakal menjadi masalah identiti kepada Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Yasin dalam wawancara bersama akhbar ini memaklumkan jika Abdul Hadi berundur, penggantinya mesti dalam kalangan ulama.

Sebelum ini, media melaporkan, Abdul Hadi memberi ba­yangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.

Beliau mula terlibat dengan politik sebagai Setiausaha Pas Cawangan Rusila pada 1964 ketika masih belajar sebelum terus mengorak langkah di peringkat negeri dan Pusat sehingga memegang jawatan sebagai Naib Presiden pada 1983 seterusnya timbalan, pada 1989.

Abdul Hadi juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu pada 1999 sehingga 2004.

Sementara itu, Muhammad Izmer melihat bahawa Pas akan terus diterajui oleh golongan ulama meskipun parti itu mempunyai ramai pemimpin dalam kalangan profesional yang turut layak diangkat sebagai presiden.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN