PETALING JAYA: Ketiadaan Nur Dhabitah Sabri sejak Disember lalu menimbulkan kegusaran dalam skuad terjun negara yang kini bergelut mencari pengganti setanding untuk acara papan anjal wanita.
Selepas menyapu bersih tiga emas pada Terbuka Malaysia 2024, nama Dhabitah langsung tidak muncul dalam sebarang kejohanan mahupun ujian pemilihan kebangsaan baru-baru ini yang menjadi penentuan kelayakan ke Kejohanan Dunia di Singapura pada Julai ini.
Ketiadaan penerjun berusia 26 tahun itu memberi kesan besar kerana setakat ini tiada atlet wanita lain yang mampu menyaingi pengalamannya, terutamanya dalam acara 3 meter (m) papan anjal individu dan seirama.
Skuad kebangsaan memiliki bakat muda seperti Ong Ker Ying dan Lee Yiat Qing, namun prestasi mereka masih jauh untuk dipertaruhkan di pentas utama dunia seperti di Singapura bulan depan.
Meskipun Persekutuan Renang Malaysia (MAS) menyatakan penyertaannya ke Kejohanan Dunia bergantung kepada tahap kecergasan dan skor kelayakan minimum (MQS), hakikatnya harapan masih terletak di bahunya.
Bagaimanapun, peluang masih terbuka kepada pemenang pingat perak Sukan Asia 2022 itu ke Kejohanan Dunia meskipun tidak menyertai mana-mana kejohanan mahupun melepasi had kelayakan MQS yang ditetapkan oleh pihak MAS sendiri.
Hal ini kerana, badan induk itu sendiri tahu bahawa tiada mana-mana penerjun 3m papan anjal wanita yang boleh dipertaruhkan dalam kejohanan antarabangsa.
MQS berfungsi sebagai penanda aras utama dalam menentukan atlet terjun yang layak mewakili negara di kejohanan antarabangsa termasuk Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Thailand 2025.
Dhabitah bukan sekadar ikon, malah konsisten menyumbang pingat dan menjadi figura yang menyatukan keyakinan dalam acara berpasukan dan seirama negara sejak hampir satu dekad lalu.
Tanpa Dhabitah, papan anjal wanita negara kehilangan sentuhan emas, sesuatu yang jelas belum mampu diisi oleh sesiapa setakat ini. – UTUSAN










