BIARPUN sudah tiga dekad episod hitam apabila mikrofonnya tidak berfungsi ketika Anugerah Juara Lagu 1991 (AJL6) berlaku, namun sehingga kini masih ada sisa trauma yang kekal dalam fikiran vokalis Damasutra, Baggio.
Insiden memalukan itu sekali gus membuatkan Baggio bersedia baik dari segi mental dan fizikal sekiranya masalah teknikal seperti itu berulang kembali di pentas berskala besar.
Apatah lagi, mereka ketika itu yang pertama kali beraksi di pentas berprestij harus menelan dalam rasa malu apabila suara tidak kedengaran di awal persembahan.
“Memang sampai sekarang, saya tak pernah lupakan peristiwa ketika malam kemuncak AJL6 itu. Masa itu kami membawakan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi.
“Itu kali pertama kami ke pentas akhir Juara Lagu dan bayangkan, empat baris pertama nyanyian saya tidak kedengaran. Semua gara-gara mikrofon yang tidak berfungsi.
“Kalau nak kata trauma, ya betul. Itu julung kali kami membuat persembahan di pentas langsung sebesar itu, berlaku pula kesilapan teknikal. Tetapi saya tetap meneruskan aksi,” ujarnya
Tetapi ibarat bermain catur, Baggio sedar, insiden seperti itu tidak dapat diramal awal namun pengalaman menjadi perisai kematangan untuk dia tidak gelabah di atas pentas.
“Mungkin kalau tidak kuat semangat, saya sudah gelabah dan tidak meneruskan nyanyian. Tetapi ketika itu, saya tahu tugas sebenar untuk menyampaikan lagu itu sebaik mungkin.
“Kami ini banyak menjayakan persembahan karnival, menghiburkan peminat. Tidak kira besar atau kecil skala pentas itu, apa yang penting adalah pengalaman yang diraih,” kongsinya.
Lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi bukan hanya memberi kenangan tersebut tetapi mencipta sejarah kemenangan buat Damasutra apabila meraih tempat kedua kategori persembahan terbaik dalam anugerah berprestij itu.
33 TAHUN BERKARYA
Bakal menjayakan Konsert Anniversari ke-33 Damasutra ‘The Journey’, 27 Oktober depan, pemilik nama sebenar Bahagia Daharun itu akan memberi fokus terhadap kualiti muzik dan bunyi.
Tidak mahu peristiwa hitam itu berulang kembali, Baggio bagaimanapun percaya Zepp Kuala Lumpur bukan pentas sekecil-kecil anak. Deretan konsert bertaraf antarabangsa sudah menjadi bukti.
“Perancangan untuk konsert ini sudah dilakukan setahun yang lalu. Kami mahu meraikan ulang tahun ke 33 Damasutra dengan satu acara khas untuk peminat kenang hingga akhir hayat.
“Idea konsert ini dicetuskan oleh pengurus dan anggota lain yang melihat angka 33 sebagai satu simbol kematangan. Kami masih lagi relevan biarpun industri muzik melalui revolusi.
“Kami juga bersyukur kerana masih diterima dan kehadiran peminat baharu dalam kalangan generasi 20-an membuktikan muzik Damasutra tetap ada nilai dan harganya,” kongsinya.
Konsert tersebut juga bakal menjadi pentas memperkenalkan pemain gitar baharu Damasutra menggantikan Allahyarham Alok, Rizal Wahab, selain kumpulan undangan bagi segmen idola, Kristal.
“Kami sudah menempuh pelbagai dugaan pahit manis sepanjang 33 tahun dalam industri demi memperkukuhkan jenama Damasutra. Konsert mega ini adalah jawapan meraikan Damasutra.
“Konsert dua jam ini juga bakal menjadi pentas penceritaan kami menerusi lagu-lagu yang terkandung dalam album Antara Sutra Dan Bulan, Asyik, Kurnia serta Penawar,” katanya.
Selain Baggio dan Rizal, tunjang utama kumpulan yang ditubuhkan sejak akhir 1980-an itu adalah Amran yang juga pengasas merangkap gitaris serta pemain dram, Assu.
Tiket konsert yang dibawakan oleh Ultimate Media Resourcessudah mula dijual pada harga Rock Zon, RM188 (berdiri), Gold RM350 (duduk/Meet & Greet/t-Shirt), manakala Silver RM258 (duduk/merchandise).
Pada masa sama, Ultimate Media Resources turut menawarkan tempat duduk bagi VIP box yang berharga RM3,000.