Bot karam: kanak-kanak 7 tahun lemas, seorang masih hilang

Tragedi bot karam: kanak-kanak 7 tahun lemas, seorang masih hilang

Operasi SAR kanak-kanak hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Sipanggau, Semporna-IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemukan lemas manakala, seorang lagi kanak-kanak masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Sipanggau semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, bot pam dinaiki kedua-dua mangsa bersama dua lelaki dewasa dipukul ombak besar hingga menyebabkan bot tersebut karam.

Kedua-dua lelaki dewasa yang selamat dikenali sebagai Katibin Husni, 28 dan Ampit Gopek, 25, ditemukan selamat manakala, anak kepada Katibin iaitu Nasirin ditemukan lemas. Sementara itu, anak kepada Ampit iaitu Padli yang berusia tujuh tahun masih hilang.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, ketiga-tiga mangsa ditemukan oleh Pasukan Polis Marin dan Komando Vat 69 yang sedang melakukan tugas rondaan di perairan berkenaan.

“Semasa dalam perjalanan melakukan rondaan, pasukan peronda ternampak sebuah bot pam kayu dalam keadaan terumbang ambing. Kemudian, pasukan peronda melihat ada mangsa berhampiran bot tersebut.

“Tiga mangsa telah dijumpai dan di bawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut. Dua lelaki dewasa ditemukan selamat manakala, seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital semasa pemeriksaan di Unit Kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Farhan berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa yang merupakan warga asing itu sedang dalam perjalanan dari Pulau Menampilik ke Jeti Kahanga sebelum bot dinaiki mereka dipukul ombak sehingga karam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Padli Ampit diteruskan pada hari ini. Mangsa yang hilang berbaju kemeja-T berwarna oren dan berseluar pendek berwarna maroon.

Operasi SAR telah diaktifkan sejak semalam disertai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna dan Taman-Taman Sabah.

“Operasi SAR semalam ditangguhkan kerana cuaca gelap dan disambung semula pada hari ini. Mohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Ketua Balai Polis Pulau Bum Bum, Asisten Superitendan Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berdekatan.

“Orang awam dinasihati supaya berhati-hati semasa berada dilaut kerana keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Kawalan BBP Air Semporna terima laporan daripada IPD Semporna memaklumkan terdapat kes Bot Karam di Pulau Nusa Tengah Semporna. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN