BATU PAHAT : Punca kematian tiga orang termasuk seorang wanita warga Myanmar di Hentian Rehat Yong Peng malam tadi disahkan kerana tidur terlalu lama dengan pendingin hawa kereta terpasang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa berusia 23 hingga 27 dalam perjalanan dari Genting Highlands menuju ke Taman Air Biru, Pasir Gudang.
Katanya, kereta Perodua Alza yang digunakan dipinjam dari seorang rakan di Johor Bahru jenis dan dipercayai telah berhenti rehat seterusnya tidur dalam kereta di tempat kejadian.
“Hasil temubual daripada beberapa orang saksi, kereta mangsa didapati telah diletakkan dalam tempoh masa agak lama di Hentian Rehat Yong Peng itu.
“Mangsa didapati tidak bergerak namun enjin kereta dihidupkan manakala tingkap tertutup rapat serta pintu dalam keadaan berkunci,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Shahrulanuar lagi, apabila semua mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas semasa orang awam mengetuk cermin tingkap dan memanggil dari luar, mereka kemudiannya terpaksa memecahkan cermin tingkap di bahagian pemandu untuk membuka pintu kereta untuk memberikan bantuan.
Ujarnya lagi, selepas pintu berjaya dibuka didapati kesemua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tidak memberikan sebarang tindak balas.
“Selepas pemeriksaan daripada pasukan perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Siasatan Mati Mengejut (SDR),” katanya.-UTUSAN