PETALING JAYA: “Tidak dinafikan, Malaysia ibarat rumah kedua saya dalam berkarya. Setiap lagu saya diterima baik dan mendapat sambutan menggalakkan oleh peminat. Itu satu penghormatan buat saya.”
Demikian luahan penyanyi Indonesia, Afgan yang terharu dengan sokongan tanpa henti peminatnya di sini terutama selepas kejayaan konsert Afgan Evolution Live In Kuala Lumpur pada Disember tahun lalu.
Bakal kembali sekali lagi di pentas Plenary Hall, KLCC menerusi Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO), penyanyi Sabar itu juga menjanjikan persembahan yang lebih hebat.
“Setiap kali saya menjayakan konsert di Malaysia, peminat tidak henti-henti memberikan sokongan. Itu satu penghormatan buat saya. Sejujurnya, saya juga tidak menjangka penganjur sekali lagi memilih saya.
“Namun, saya percaya mereka ada alasan tersendiri. Selain saya juga senang bekerjasama dengan mereka.Konsert ini juga sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik daripada Malaysian Philharmonic Orchestra.
“Apabila dimaklumkan mereka bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya ‘it’s amazing’!. Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti,” katanya.
Afgan bakal kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di Plenary Hall, KLCC pada 2 Disember depan.
Konsert itu juga dibawakan secara eksklusif oleh penganjur, Renjana Idea.
Sementara itu, Pengarah Urusan Renjana Idea, Aliya Arisya Anuar berkata, pihaknya berbesar hati kerana Afgan sekali lagi menerima pelawaan dan bersetuju untuk menjayakan konsert di sini.
“Kali ini kita mahu memberikan kelainan pada konsert Afgan. Tahun ini persembahan Afgan akan diiringi oleh MPO. Saya pasti deretan lagu popular Afgan itu menjadi lebih hebat dengan iringan pemuzik MPO.
“Jadi, kepada semua yang tak dapat nak menyaksikan konsert sebelum ini, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke konsert tersebut. Kami menjanjikan persembahan hebat daripada Afgan,” katanya.
Berbeza dengan konsert sebelum ini, Afgan Live In Concert With Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) bakal membariskan lagu-lagu malar segar penyanyi tersebut.
Malah,turut bakal membuat kejutan adalah penyanyi jemputan yang akan diumumkan penganjur kelak.
Tiket konsert tersebut akan mula dijual pada 5 Julai ini, pukul 10 pagi, di GOLIVE-ASIA.COM
Harga tiket bermula RM1488 (Lestari Merdu); RM998 (Panah Asmara); RM888 (Lenggang Puspita); RM588 (Heaven); RM338 (Knock Me Out); RM298 (M.I.A) dan RM258 (Bawalah Cintaku).