PETALING JAYA: Perkara yang termaktub dalam perlembagaan terutamanya berkaitan dengan isu 3R (agama, bangsa dan raja-raja) tidak seharusnya diperdebatkan dalam kempen ceramah pilihan raya semata-mata ingin meraih Undi18.
Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pengundi muda yang baru harus menjadikan pengalaman semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ) digunakan di Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Menurutnya, dalam memastikan kesuburan demokrasi yang matang dalam negara berjalan dengan baik maka pengundi muda atau Undi18 perlu memperlihatkan perihal politik ini sebagai salah satu perkara yang boleh dipertimbangkan.
“Pertimbangan tersebut hendaklah berdasarkan fakta,bukannya berdasarkan faktor-faktor yang mencetuskan emosi dan persepsi negatif.
“Pengundi muda haruslah melihat kekuatan apakah faktor yang boleh mempengaruhi sosial ekonomi dan kepentingan mereka dengan membina identiti atau corak pengundian berasaskan faktor tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), yng hanya mahu dikenali sebagai Zulaikha 22 berkata, kempen yang berbentuk fizikal dan melakukan khidmat masyarakat merupakan kaedah yang boleh merubah persepsi pengundi muda terhadap calon tersebut.
Katanya, sebagai pengundi baharu dan muda dia akan memilih calon atau pemimpin yang mudah untuk didekati rakyat bukan setakat pada musim berkempen pilihan raya namun pada hari-hari biasa juga.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatian pada musim pilihan raya menjelang katanya sebelum ini, rata-rata calon yang bertanding di suatu kawasan sememangnya akan turun padang dan ada yang membuat lawatan dari rumah ke rumah.
“Namun begitu, setelah calon tersebut menang, segelintir mereka seperti bersikap bongkak mungkin kerana kuasa yang diingini sudah diperolehi, malah ini menunjukkan mereka sebenarnya bersikap hipokrit.
“Ini juga ditambah sebagai seorang yang berkenamaan tetapi bersikap tidak rasional dan matang ketika membuat ceramah semasa berkempen dengan sempat mencemuh parti politik yang lain seperti sudah jauh tersasar dalam memperjuang manifesto yang telah dibentuk bagi kepentingan rakyat.
Namun,seperti yang berlaku pada PRU15 pada tahun lepas adalah pada akhirnya parti-parti politik yang bermusuh sesama sendiri bersatu dalam membentuk kerajaan perpaduan,”katanya.
Justeru itu, Zulaikha berkata sebagai seorang pengundi hendaklah bijak dengan tidak terpedaya dengan janji manis dalam isu yang dimainkan ketika berceramah politik,
“Namun hendaklah dinilai dengan sejauh manakah calon tersebut boleh membawa perubahan kepada kawasan yang dipertandingkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, bagi seorang lagi pelajar IPT, hanya ingin dikenali sebagai Zambri, 24 tahun, dia memperlihatkan kempen berceramah yang sengaja membawa isu agama, bangsa dan perihal raja ibarat membawa unsur hasutan.
“Ini kerana tidak semua pendengar yang hadir ke ceramah politik boleh mentafsir objektif dan tujuan seperti apa yang ingin disampaikan, namun sebaliknya perkara tersebut memboleh membuatlkan masyarakat akan salah faham.
Menurutnya, ia akan membuat golongan belia atau Undi18 yang masih baharu untuk memahami pemahaman mengenai politik akan berasa sangsi dan ragu-ragu jika elemen keagamaan boleh diperguna-gunakan dalam kempen politik. –UTUSAN










