ALOR SETAR: Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kononnya terdapat plot besar dirancang untuk mengenakannya hanya taktik untuk mengalihkan perhatian.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu tidak patut dibuat memandangkan perkataan yang mengguris perasaan istana itu keluar daripada mulutnya sendiri tanpa dibina skrip oleh pihak lain.
“Saya hendak tanya Sanusi, apabila seseorang itu menghina raja, maka apa kita perlu buat? Adakah kita semua pakat duduk diam sampai polis pun tidak boleh hendak ambil tindakan seolah-olah tiada isu yang timbul.
“Jadi bagi saya, dakwaan kononnya ada plot bagi mengenakannya hanyalah langkah untuk menampakkan perkara ini sebagai isu politik. Sedangkan polis mengambil tindakan atas perbuatannya sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu mengiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara di Kampung Alor Senjaya, di sini hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat satu plot besar yang sedang dirancang untuk memburukkan imejnya bagi menggambarkan dirinya sebagai individu bermasalah hingga perlu disiasat pelbagai agensi.
Tambah Mahfuz, Muhammad Sanusi seharusnya menjaga mulutnya kerana perbuatan yang sering dilakukannya itu seakan-akan menghina ciptaan Tuhan.
“Sebagai contoh beliau panggil Datuk Seri Amirudin Shari sebagai tidak cukup inci dan saya sendiri sebagai ‘cak uban’. Hal ketinggian dan uban ini anugerah Allah dan saya pun tidak kisah tetapi tidak perlulah mengata sampai sedemikian rupa,” katanya.
Sementara itu Mahfuz berkata, tindakan Muhammad Sanusi menghantar warkah memohon ampun kepada Sultan Selangor juga seakan tidak ikhlas kerana menyalahkan pihak lain yang didakwa memutar belit kenyataannya.
“Kononnya orang lain buat salah dengan memutar belit kenyataan dibuatnya. Perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana laporan polis dibuat oleh Ahli Dewan Diraja Selangor dan tentunya langkah tersebut mendapat perkenan baginda.
“Apabila minta maaf tetapi salahkan orang lain, nampak seolah-olah permohonan maaf itu tidak ikhlas sedangkan apa yang dikatanya sudah tersebar luas melalui video dan berakar umbi dalam kalangan masyarakat. Jadi memang wajar tindakan undang-undang diambil terhadapnya,” katanya. – UTUSAN










