PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan tiada pindaan dirancang untuk pengeluaran penuh umur 55 dan 60 untuk ahli-ahli semasa.
Menurut kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam, perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP yang sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela.
Agensi itu memaklumkan cadangan pengeluaran mandatori bulanan akan hanya melibatkan ahli-ahli baharu dan buat sementara ini bagi mereka yang lahir pada atau selepas 2010 serta berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu berkenaan.
“Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori ini akan dibuat selepas persaraan ahli-ahli ini yang dijangkakan hanya berlaku beberapa dekad dari sekarang.
“Cadangan ini masih diteliti dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan semalam.
KWSP kemudian menambah mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain kerana negara ini adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan cadangan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum yang mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu.
Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terbuka dengan cadangan KWSP untuk menjadikan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun daripada secara sukarela kepada mandatori bagi pencarum baharu. – UTUSAN










