Terima suapan, seorang penolong jurutera didenda RM80,000 - Utusan Malaysia

Terima suapan, seorang penolong jurutera didenda RM80,000

Polis rasuah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Padah menerima suapan, seorang penolong jurutera di denda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan daripada penyelia tapak sebuah syarikat pembinaan.

Zabidi Zahari, 36, dijatuhkan hukuman tersebut oleh Hakim Datuk Anita Harun selepas menukar pengakuannya atas pertuduhan pilihan yang dibacakan sekali lagi ke atasnya iaitu menerima suapan berjumlah RM10,000.

Anita turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Terdahulu, bapa kepada tiga orang anak itu dituduh menerima wang berjumlah RM RM10,000 daripada seorang penyelia tapak sebuah syarikat dan kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah restoran di Bandar Baru Bangi pada 17 Mei 2022 kira-kira pukul 4 petang.

Justeru, Zabidi didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Peguam mewakili tertuduh, Mohd. Baharuddin Ahmad Kassim kemudian merayu hukuman denda dikenakan terhadap tertuduh atas faktor anak-anak yang masih bersekolah dan merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan isterinya adalah suri rumah sepenuh masa. Ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh juga insaf dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Justeru, mohon mahkamah mengenakan hukuman denda terhadap tertuduh. Tertuduh juga ditahan selama tiga hari sepanjang siasatan oleh SPRM,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin meminta mahkamah mengambil kira keseluruhan fakta kes dan menjatuhkan hukuman yang berat sebagai pengajaran kepada tertuduh di masa hadapan dan masyarakat.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman selepas Zabidi mengaku salah atas pertuduhan di bawah seksyen tersebut.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak dan menimbang fakta kes, tertuduh didenda RM80,000 dan penjara 12 bulan jika gagal membayarnya,” ujarnya.

Berdasarkan fakta kes, penyelia tapak berkenaan menghantar invois tuntutan kerja interim pertama berjumlah RM75,000 pada 29 Oktober 2021 dan dihantar kepada JKR Hulu Langat.

Kemudian, pada 28 April 2022, penyelia mengadakan pertemuan dengan tertuduh yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat dan menyerahkan jumlah bayaran interim kedua berjumlah RM258,000. Ketika itu tertuduh meminta bayaran rasuah berjumlah RM70,000 bagi membantu percepat proses bayaran tersebut.

Bagaimanapun pada 14 Mei 2022, penyelia itu dihubungi Zabidi yang meminta wang yang diminta sebelum ini dinaikkan kepada RM80,000. Oleh kerana khuatir tertuduh akan mengganggu proses tuntutan interim kedua, individu berkenaan memaklumkan kepada penolong jurutera itu untuk berbincang dengan pengurus syarikatnya.

Namun, pada 17 Mei 2022, penyelia hadir ke pejabat SPRM cawangan Klang untuk membuat aduan dan SPRM kemudian menangkap tertuduh dekat restoran berkenaan selepas dia bersetuju untuk menemuinya dilokasi tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya