KUALA TERENGGANU: Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Terengganu mengakui rahsia kejayaan mereka mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu hasil berkat doa ibu bapa, keikhlasan ilmu yang dicurahkan guru serta komitmen daripada pihak sekolah.
Selain itu, usaha yang istiqamah, konsisten mengulang kaji pelajaran, fokus dalam kelas, membantu kawan dan berjumpa guru untuk berbincang mengenai topik tertentu juga menjadi faktor kejayaan.
Pelajar terbaik SPM 2022 Terengganu, Nur Nadiatul Syakila Mohd. Razif, 18, dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin berkata, dia percaya usaha tidak sesekali akan mengkhianati hasil dan terbukti apabila berjaya memperolehi 10A+ dalam peperiksaan tersebut.
“Setiap kali buka buku nak belajar, saya akan perbaharui niat untuk mendapat ilmu seperti yang dituntut Islam.
“Ilmu Allah sangat luas bukan sahaja demi manfaat duniawi malah ukhrawi dan saya niatkan semua ilmu yang saya pelajari itu digunakan untuk kemaslahatan ummah dan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pelajar cemerlang STPM, Aqilah Talib, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman pula memberitahu, kesusahan hidup keluarganya tidak menghalangnya capai keputusan cemerlang apabila memperoleh semua A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.
“Kejayaan dalam pelajaran adalah milik semua pelajar tanpa mengira taraf hidup dan pendidikan keluarga serta paling penting semangat dan kerajinan mereka,” katanya. – UTUSAN