SPS sumbang 70 peratus pengeluaran akuakultur di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

SPS sumbang 70 peratus pengeluaran akuakultur di Pulau Pinang

CHAN Foong Hin (duduk, tengah) ketika menghadiri program ramah mesra serta libat urus bersama semua persatuan penternak negeri di Bukit Tambun, Pulau Pinang semalam. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BATU KAWAN: Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini kini menjadi penyumbang terbesar kepada pengeluaran akuakultur bagi Pulau Pinang khususnya melalui hasil ternakan kolam air payau iaitu sebanyak 35,464 tan metrik atau kira-kira 70 peratus.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkata, ini diikuti oleh daerah Timur Laut dengan jumlah pengeluaran akuakultur sebanyak 3,488 tan metrik; Seberang Perai Tengah (SPT) dengan 2,554 tan metrik; Barat Daya (1,573 tan metrik) dan Seberang Perai Selatan atau SPS iaitu sebanyak 1,379 tan metrik.

Katanya, melalui rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan pula, ikan siakap merupakan ternakan akuakultur yang paling banyak dikeluarkan iaitu sebanyak 29,770 tan metrik pada tahun 2022.

Kata beliau, ini diikuti oleh ternakan ikan lain seperti keli sebanyak 2,691 tan metrik; jenahak (2,089 tan metrik); merah (2,009 tan metrik) dan lain-lain ternakan ikan yang menyumbang kepada antara 100 hingga 1,000 tan metrik pengeluaran.

“Secara keseluruhannya, hasil ternakan akuakultur di Pulau Pinang sepanjang tahun lepas telah menyumbang sehingga RM658 juta kepada ekonomi negara.

“Selain ikan, negeri ini turut menjadi antara penyumbang kepada pengeluaran udang putih negara iaitu sebanyak 1,233 tan metrik dengan nilai sebanyak RM32 juta.

“Ketika ini juga, terdapat seramai 11 penternak udang putih di seluruh Pulau Pinang yang mengusahakan ternakan di kolam berkeluasan kira-kira 12.8 hektar,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program ramah mesra serta libat urus bersama semua persatuan penternak negeri di Bukit Tambun, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Perikanan negeri, Zarina Zainuddin serta Pengerusi Persatuan Penternak Akuakultur Pulau Pinang (Penkua), Datuk Goh Cheng Liang.

Mengikut rekod, terdapat seramai 555 penternak akuakultur pada tahun 2022 di Pulau Pinang melibatkan kawasan ternakan seluas kira-kira 1,544.51 hektar.

Terdahulu, Foong Hin turut meluangkan masa melawat kilang milik syarikat pembekal makanan laut, Goh Siong Tee Marine Product Sdn. Bhd. di Simpang Ampat dan kilang pemprosesan makanan akuatik iaitu Green Island Feed Mills Sdn. Bhd.. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya