SPRM perlu siasat pemberian bantuan khas oleh kerajaan menjelang PRN - Utusan Malaysia

SPRM perlu siasat pemberian bantuan khas oleh kerajaan menjelang PRN

MOHD. Shukri Ramli ketika ditemui pada program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Perlis bersama solidariti untuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks Pas negeri di Kangar, Perlis malam tadi.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan berhubung pengumuman pemberian bantuan khas oleh kerajaan buat kakitangan awam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, siasatan itu perlu dilaksanakan bagi melihat tujuan dan matlamat pemberian bantuan khas itu yang diberikan menjelang PRN pada 12 Ogos nanti.

Katanya, tindakan itu perlu dilaksanakan sebagaimana dilakukan ke atas calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang dibatalkan kemenangannya sebelum ini atas dakwaan menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri.

“Jadi sekarang ini bila Perdana Menteri pula bagi insentif pada kakitangan kerajaan apa tujuan dan matlamat dia?

“Semua orang tahu matlamatnya adalah untuk PRN ini, jadi SPRM mesti ambil tindakan sama seperti mana dilakukan di kerusi Kuala Terengganu dan beberapa lagi Parlimen,” katanya ketika ditemui pada program munajat perdana dan himpunan jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) Perlis bersama solidariti untuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kompleks Pas negeri di sini, malam tadi.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan menyediakan bantuan khas penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM200 kepada pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, bantuan itu akan disalurkan dalam tempoh dua minggu dan dimanfaatkan 1.3 juta penjawat awam termasuk lantikan kontrak serta lebih sejuta pesara.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kebanyakan rakyat khususnya anak muda pada masa kini sudah bijak dalam membuat penilaian khususnya membabitkan pemberian bantuan khas berkenaan.

“Apa yang dipertikaikan adalah dari segi kaedah dan masa pemberian (insentif itu).Rakyat cukup cerdik dan boleh nilai sama ada sumbangan itu adalah untuk pilihan raya atau sebaliknya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya